Nelayan gesa kerajaan kembalikan kadar subsidi diesel
KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Pengusaha bot nelayan bot kelas B dan C mendakwa hasil tangkapan mereka terjejas selepas kerajaan mengurangkan minyak diesel bersubsidi kepada bot kelas itu bermula Januari tahun ini.
Difahamkan, subsidi minyak bagi bot kelas B sebanyak 12,000 liter berbanding 15,000 liter manakala kelas C pula daripada 20,000 liter kepada 17,000 liter.
Wakil pengusaha, Lee Bing Quan, 31, berkata, pengurangan subsidi itu menyebabkan tempoh masa berada di laut terpaksa dipendekkan berbanding sebelum ini sehingga 10 hari.
"Biasanya kami menangkap ikan dua kali sebulan, untuk satu trip perjalanan bagi bot kelas C menelan kos (minyak) sekitar 10,000 liter.
"Tapi, sekarang ini jumlah (subsidi) itu hanya dapat menampung untuk satu kali keluar ke laut bagi tempoh lebih 10 hari," katanya ketika ditemui pemberita di hadapan Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini pada Khamis.
Sebelum itu, hampir 100 pengusaha bot nelayan daerah ini mengadakan perhimpunan secara aman bagi menggesa kerajaan mengembalikan semula kadar subsidi seperti sebelum ini
Bing Quan memberitahu ia memberi kesan kepada pendapatan apabila tidak dapat mengaut hasil tangkapan, malah gaji pekerja bot turut merosot.
Ujarnya, di Kuantan sahaja, terdapat 200 bot nelayan dan mereka memiliki dengan enam orang pekerja.
"Jika hanya dapat melakukan satu trip sahaja (tangkapan ikan) dalam sebulan, pendapatan kami akan berkurang dan kami tidak dapat membayar gaji pekerja.
"Bukan itu sahaja, hasil ikan juga akan terjejas sekali gus menyebabkan kekurangan bekalan ikan di pasaran. Situasi ini sebenarnya boleh menyebabkan harga ikan semakin meningkat dan secara tidak langsung boleh membebankan pengguna,” ujarnya.
Ariping Mohd,70, yang sudah 40 tahun menjadi pengusaha bot berkata, kesemua pengusaha bot nelayan bergantung sepenuhnya kepada subsidi diesel yang diberikan.
Ujarnya, mereka juga tidak dibenarkan untuk membeli diesel dari luar dan boleh dikenakan tidak tindakan, sekiranya membeli minyak dari luar.
“Kami hanya boleh membeli minyak mengikut kuota subsidi diesel yang dikeluarkan. Kalau tidak kami akan tindakan seperti lesen digantung dan sebagainya.
“Justeru itu, kami berharap agar kerajaan meneliti semula tindakan pengurangan subsidi diesel ini.
"Setakat ini kami di LKIM merupakan antara pembekal terbesar ikan di seluruh negara. Jika trip turun ke laut berkurang, akan memberi kesan kepada hasil ikan di pasaran,” luahnya.
Sementara itu, Chua Bak Hui, 50, berharap agar kerajaan bersimpati dengan nasib pengusaha bot nelayan B dan C.
"Kami dah cukup terkesan, jadi kerajaan pertimbangkan semula untuk menaikkan semula kadar subsidi sebagaimana sebelum ini.
"Jika, subsidi ini dapat diberikan semula ia membolehkan kami beroperasi di laut dalam tempoh yang lama," jelasnya yang mengakui sudah tidak dapat menampung kos berikutan subsidi minyak diesel telah dikurangkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!