Pekerja hotel mengaku tidak bersalah miliki, guna wang palsu

Mohd Kadrie (baju merah jambu) dan Zuhan mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.
Mohd Kadrie (baju merah jambu) dan Zuhan mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang pekerja hotel mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan memiliki dan menggunakan wang palsu di dua mahkamah berlainan di sini pada Khamis.

Zuhan Khan Mohamed Ali, 53, membuat kesemua pengakuan terbabit termasuk satu pertuduhan secara bersama di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Georgetown.

Di Mahkamah Sesyen, tertuduh menghadapi satu pertuduhan iaitu menggunakan wang palsu.

Mengikut pertuduhan, Zuhan Khan didakwa menggunakan sekeping wang kertas iaitu not RM100 yang memakai nombor siri DQ0520086 yang dibuat dengan jalan pemalsuan sebagai wang tulen.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di kedai serbaneka 7 Eleven, Batu Ferringhi di sini pada 11 Mac lalu.

Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Chew Qi Wei manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim Mazdi Abdul Hamid menetapkan jaminan RM6,000 terhadap tertuduh dan kes disebut semula 12 Mei depan.

Sementara itu, Zuhan turut mengaku tidak bersalah terhadap satu pertuduhan memiliki 15 keping wang kertas palsu di Mahkamah Majistret.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah bilik hotel di Jalan Batu Feringghi pada jam 4.30 petang, 20 Mac lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh memiliki lapan keping wang kertas palsu iaitu not RM100 yang memakai nombor siri DQ0520086, enam keping wang kertas palsu iaitu not RM100 yang memakai nombor siri AH8860569 serta sekeping wang kertas palsu iaitu not RM20 yang memakai nombor siri CR0312132.

Tertuduh didakwa dengan mengetahui bahawa mata wang tersebut adalah palsu dan supaya mata wang tersebut boleh digunakan sebagai tulen.

Oleh itu, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 489 C Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut peruntukan yang sama.

Tertuduh boleh dipenjara sehingga 10 tahun jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atikah Asharaf Ali memohon wang jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Tertuduh yang diwakili peguam Cheah Eng Soon memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan dengan alasan tertuduh bekerja sebagai pekerja hotel dan perlu menanggung isteri serta tiga anak.

Majistret Melati Diana Abdul Wahab kemudiannya menetapkan wang jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin yang terdiri daripada ahli keluarga serta tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis terdekat sekali setiap bulan.

Di mahkamah yang sama, Zuhan Khan turut menghadapi satu pertuduhan bersama memiliki 21 wang kertas palsu dengan dua rakannya, Mohd Kadrie Kamarulzaman, 41 dan Norhayati Talib, 28.

Norhayati mengaku bersalah terhadap pertuduhan bersama dengan dua rakannya iaitu memilik wang kertas palsu.
Norhayati mengaku bersalah terhadap pertuduhan bersama dengan dua rakannya iaitu memilik wang kertas palsu.

Zuhan Khan dan Mohd Kadrie mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan manakala Norhayati yang belum berkahwin dan bekerja sebagai penjual baju mengaku bersalah.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa memiliki 18 keping wang kertas palsu iaitu not RM100 yang memakai nombor siri AH8860569 dan tiga keping wang kertas palsu iaitu not RM20 yang memakai nombor siri CR0312132.

Mereka dituduh melakukan kesalahan tersebut di sebuah bilik hotel di Jalan Batu Feringghi pada jam 4.30 petang, 20 Mac lalu.

Kesemua tertuduh didakwa dengan menyedari bahawa mata wang tersebut adalah palsu dan supaya mata wang tersebut boleh digunakan sebagai tulen.

Oleh demikian, mereka didakwa telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 489 C Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut peruntukan yang sama dan boleh dibacakan bersama mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Zuhan Khan, Mohd Kadrie dan Norhayati diwakili Eng Soon.

Nurul Atikah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dalam tempoh lebih lama terhadap Norhayati kerana mengambil kira faktor kepentingan awam.

"Mohon mahkamah mengambil kira kesalahan jenayah yang dilakukan telah menggugat ekonomi negara serta memberi kesan negatif kepada negara. Selain itu, pohon mahkamah mengambil kira kerugian kedai atau mangsa yang terlibat dalam kes ini.

"Pengakuan salah tertuduh bukan satu alasan untuk mahkamah meringankan hukuman terhadapnya. Hukuman berat wajar diberikan sebagai pengajaran dan sekiranya hukuman yang dikenakan ringan, ia dibimbangi akan memberi rasa tidak takut kepada masyarakat untuk melakukan kesalahan ini," ujarnya.

Melati Diana kemudiannya menetapkan hukuman 10 bulan penjara dari tarikh ditangkap terhadap Norhayati.

Sementara itu, bagi Mohd Kadrie dan Zuhan Khan, Nurul Atikah memohon wang jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin terhadap setiap tertuduh.

Eng Soon memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan kerana Mohd Kadrie hanya seorang peniaga yang perlu menanggung isteri dan dua anak manakala untuk Zuhan Khan, alasan sama dalam kes pertama telah digunakan.

Bagaimanapun, Melati Diana menetapkan wang jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin bagi Zuhan Khan dan Mohd Kadrie.

Mereka juga perlu melaporkan diri sekali setiap bulan di balai polis berdekatan sehingga kes selesai.

Kes ditangguhkan pada 16 Mei untuk serahan dokumen.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!