Masjid, perumahan lokasi pilihan buang bayi
JOHOR BAHRU - Masjid dan kawasan perumahan menjadi lokasi utama pembuangan bayi yang dikesan di negeri ini.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Liow Cai Tung berkata kes yang semakin berleluasa perlu diberi fokus semua pihak.
"Isu pembuangan bayi yang masih berlaku amat menyedihkan kerana setiap bayi yang dibuang itu adalah nyawa yang berharga dan perlu diberi peluang untuk memiliki masa depan yang cerah.
"Isu pembuangan bayi seperti isu penderaan kanak-kanak dan jenayah seksual atas kanak-kanak juga yang perlu diberi tumpuan dan fokus kerana isu-isu ini berhubungkait.
"Kebanyakan kes pembuangan bayi dikesan di masjid dan kawasan perumahan. Bagi tahun ini sehingga April sahaja ada lima kes dilaporkan," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Menurutnya, kesedaran dan pendedahan awal tentang tanggungjawab sebagai ibu bapa serta kepentingan institusi kekeluargaan perlu diberi terutama terhadap golongan muda.
Sehubungan itu, kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) menawarkan Modul Keluarga Sakinah.
"Ia satu modul kekeluargaan yang mengandungi peranan dan tanggungjawab individu dalam institusi keluarga terutama kemahiran keibubapaan.
"Apabila mereka memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing, sudah pasti segala urusan keluarga dapat disempurnakan dengan baik," katanya.
Katanya, kerajaan negeri juga merancang untuk mewujudkan kursus pra-perkahwinan kepada pasangan bukan Islam.
"Kami akan cadangkan supaya topik tanggungjawab sebagai ibu bapa dimasukkan sekali.
"Ini untuk memberi kefahaman kepada pasangan muda tentang cabaran-cabaran yang akan dihadapi sebagai ibu bapa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!