BNM dijangka kekalkan OPR hingga akhir tahun

KENANGA Research menjangkakan BNM akan mengekalkan OPR pada 2.75 peratus untuk sepanjang tahun ini.
KENANGA Research menjangkakan BNM akan mengekalkan OPR pada 2.75 peratus untuk sepanjang tahun ini.
A
A
A

KENANGA Research menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) telah mencapai penghujung kitaran pengetatan monetarinya dan akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus untuk sepanjang tahun ini.

Ini berdasarkan aliran menurun seterusnya dalam inflasi teras dan utama di bawah 3.0 peratus dan jangkaan kelembapan ekonomi global dalam keadaan kewangan yang lebih ketat, yang mampu menjejaskan pertumbuhan domestik pada tahun hadapan.

"Kami percaya bank pusat berdedikasi untuk mengekalkan kedua-dua harga yang stabil dan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

"Bagaimanapun, kami menganggap masih ada ruang untuk bank pusat menyesuaikan kadar dasar, mungkin dengan kenaikan 25 mata asas (bps) kepada 3.00 peratus, sekiranya berlaku kejutan yang tidak dijangka kepada harga komoditi global atau pasaran kewangan global, juga sebagai perubahan kepada dasar subsidi tempatan, yang menyebabkan kenaikan semula tekanan inflasi domestik,” katanya dalam nota kajian pada Khamis.

Firma penyelidikan itu berkata, BNM dijangka tidak mengurangkan kadar dasar pada 2023 atau 2024.

Mengenai baki akaun semasa, Kenanga Research berkata, walaupun ia menjangkakan kelembapan dalam aktiviti luaran disebabkan oleh permintaan global yang lebih lemah di tengah-tengah risiko kemelesetan yang meningkat, pendapat firma itu adalah sejajar dengan unjuran BNM bahawa baki akaun semasa akan kekal melebihi 2.5 peratus pada tahun 2023.

"Sebagai perbandingan, kami menjangkakan baki akaun semasa berkembang sebanyak 2.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2023, terutamanya disebabkan oleh jangkaan peningkatan dalam aktiviti pelancongan dan pemulihan permintaan yang kukuh dari China.

"Walaupun terdapat pelbagai potensi risiko kepada ekonomi global, kami percaya faktor-faktor ini akan memberi kesan positif kepada imbangan akaun semasa Malaysia,” katanya.

Pendapat yang boleh menaikkan ringgit

Mengenai ringgit, firma penyelidikan itu yakin dengan mata wang tempatan memandangkan dolar AS yang lebih lemah berikutan jangkaan bahawa Rizab Persekutuan AS (Fed) akan menukar kepada polisi yang lebih berdiplomasi daripada polisi agresif, bersama-sama dengan landskap politik dan prospek ekonomi Malaysia yang bertambah baik, yang mungkin menarik aliran masuk modal asing dan menyokong mata wang tempatan.

Ia berkata, yuan yang mengukuh di tengah-tengah potensi pemulihan ekonomi China yang mantap selepas pembukaan semula mungkin juga membantu mengukuhkan ringgit kerana korelasi positifnya yang kukuh.

"Apabila Fed mula melonggarkan dasar monetarinya, mungkin sebanyak 50 mata asas pada suku keempat 2023, ia boleh membawa kepada peningkatan aliran modal bersih ke dalam pasaran pesat membangun yang menghasilkan pulangan tinggi, seterusnya memanfaatkan ringgit.

"Bagaimanapun, kami sedar risiko luaran seperti ketegangan di antara AS dan China serta perang Rusia-Ukraine, boleh memberi kesan buruk kepada ringgit dan mempengaruhi hala tujunya. Namun begitu, pada ketika ini, kami masih mengekalkan unjuran kami pada RM4.11 berbanding dolar AS pada penghujung 2023,” tambahnya.

Lebih banyak pengecualian cukai untuk caruman persaraan

Kenanga Research bersetuju dengan pandangan BNM bahawa pembaharuan diperlukan untuk memastikan rakyat Malaysia dilindungi secukupnya semasa persaraan mereka.

Ia menganggap pengecualian cukai yang lebih besar boleh diberikan kepada caruman persaraan untuk menggalakkan caruman sukarela yang lebih tinggi.

"Selain dana persaraan dan menambah baik jaringan keselamatan sosial hari tua, umur persaraan pada masa ini iaitu 60 tahun, boleh dinaikkan memandangkan potensi purata jangka hayat Malaysia terus bertambah baik pada masa hadapan.

"Ini selari dengan saranan BNM supaya peluang pekerjaan untuk pekerja tua diwujudkan dan ditingkatkan melalui langkah dasar, bagi memastikan pekerjaan yang mencukupi untuk individu daripada semua peringkat umur,” katanya.

Kenanga Research berkata walaupun menaikkan kadar caruman individu dan majikan mungkin diperlukan pada akhirnya, tetapi adalah penting untuk mengambil kira tahap pendapatan boleh guna dan melaksanakannya di samping pertumbuhan gaji yang mencukupi dan kadar pengangguran yang stabil. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!