'Dah gilis lari pula, saya tak akan maafkan dia'

Nor Kamar Hisham merenung gambar Allahyarham Mimi yang dipanggilnya adik sementara menunggu proses bedah siasat selesai dijalankan di Unit Forensik Hospital Slim River, Tanjung Malim pada Khamis. (Laporan Sinar Harian)
Nor Kamar Hisham merenung gambar Allahyarham Mimi yang dipanggilnya adik sementara menunggu proses bedah siasat selesai dijalankan di Unit Forensik Hospital Slim River, Tanjung Malim pada Khamis. (Laporan Sinar Harian)
A
A
A

TANJUNG MALIM - Seorang bapa terkilan dengan tindakan pemandu lori yang cuai membuat pusingan U hingga meragut nyawa anak dan anak saudaranya dalam nahas di Kilometer 121, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran Kampung Kelawar di sini pada Rabu.

Menurut Nor Kamar Hisham Omar, 48, dia bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan yang anaknya, Mimi Nurwaheeda,19, dan Nur Nabila Rosdi, 19, terlibat dalam kemalangan.

"Saya cam baju yang mereka pakai dan motosikal. Saya mendapatkan Nabila yang awalnya saya ingatkan anak saya yang mengerang kesakitan.

"Tetapi ada minta saya lihat seorang lagi, saya pergi dan sampai dekat jasad memang itu anak saya tetapi dia sudah meninggal dunia," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Slim River di sini pada Khamis.

Nor Kamar Hisham yang juga sukarelawan polis berharap pelaku kejadian itu segera ditahan untuk siasatan lanjut.

"Saya terkilan dia (pemandu lori) lari, kalau betul 'gentleman' buat laporan polis dan datang bersemuka dengan saya.

"Saya mahu tanya kenapa dia buat pusingan U di situ kerana kawasan gelap jadi ia berbahaya. Saya berharap dia segera ditahan dan saya tidak maafkan dia," katanya.

Tambahnya, sebelum kejadian, anak bongsu daripada tiga beradik itu ada menyatakan hasrat untuk membeli baju raya di aplikasi membeli belah.

"Kami berborak di kedai makan dan saya tanya harga, dia beritahu RM80. Saya cakap tidak perlulah kerana mahal tetapi itulah, dia anak yang paling rapat, tidak sampai hati walaupun cakap begitu.

"Sebelum Mimi beredar, dua kali dia bersalam dengan saya. Kemudian memang saya mahu pindahkan jumlah wang itu ke akaunnya supaya dia beli baju pilihannya itu tetapi tak tercapai, tiba-tiba jadi begini," katanya.

Jenazah Allahyarham Mimi Nurwaheeda akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Hulu Bernam, Selangor manakala Allahyarham Nur Nabila pula di Tanah Perkuburan Islam Felda Gunung Besout 1, Sungkai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, polis masih giat mengesan lori tangki yang terlibat dalam kejadian itu.

"Lori terbabit membuat pusingan U menyebabkan penunggang motosikal tidak sempat mengelak. Pemandu lori berkenaan tidak berhentikan kenderaannya dan meneruskan perjalanan ke arah selatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Muallim, Inspektor Mazlan di talian 017-7433831 atau mana-mana balai berhampiran bagi membantu siasatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!