Jual nasi kepada 'geng plastik hitam', peniaga dikompaun RM2,000

Bungkusan nasi dan air yang dipercayai akan diambil oleh pelanggan.
Bungkusan nasi dan air yang dipercayai akan diambil oleh pelanggan.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang peniaga makanan di Kampung Badak Mati, Pauh Lima di sini dikenakan kompaun RM2,000 melibatkan lima kesalahan termasuk tidak mematuhi waktu perniagaan ketika Ramadan.

Ketika pemeriksaan penguat kuasa Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam (MDK-PI) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK), peniaga wanita berusia 49 tahun itu sedang menyediakan makanan dan memasak lauk.

Pemeriksaan lanjut di bahagian dapur mendapati ada ayam goreng beberapa lauk yang didakwa akan dihantar ke bazar Ramadan berdekatan.

Wanita itu bagaimanapun mengaku menerima permintaan daripada penduduk setempat yang akan mengambil bungkusan nasi pada waktu yang dijanjikan.

"Saya tidak dapat menolak kerana mereka merupakan pelanggan tetap dan kebanyakannya bekerja di sekitar kawasan kampung itu," katanya pada Khamis.

Menurutnya, nasi berlauk ayam masak pedas yang siap dibungkus dijual pada harga RM4 manakala teh o ais berharga RM1.

Lauk dimasak awal pagi dipercayai untuk pelanggan di sekitar kampung.
Lauk dimasak awal pagi dipercayai untuk pelanggan di sekitar kampung.

Wanita berkenaan turut dikompaun atas tiga lagi kesalahan lain kesalahan berkaitan kebersihan premis, kesihatan dan tidak menutup aurat di bawah Undang-undang Kecil Mencegah Kekotoran MDK-PI 2019 dan Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2019.

Peniaga berkenaan antara tujuh individu yang dikompaun ketika Operasi Bersepadu Banteras Geng Ponteng Puasa 2023 di sekitar Ketereh dalam tempoh dua hari.

Sementara itu, Setiausaha MDK-PI, Mohd Azman berkata, operasi berkenaan melibatkan 15 pegawai dan penguat kuasa MDK-PI dan JAHEAIK selepas menerima aduan daripada orang ramai.

Enam lokasi serbuan melibatkan masing-masing satu di Kadok, Peringat, Aril, Badak Mati manakala dua di Salor.

"Kita mahu peniaga dan orang ramai sentiasa mematuhi peraturan yang dikeluarkan sepanjang bukan puasa selain peka terhadap undang-undang yang dikeluarkan," katanya.

Tambah beliau, usaha itu juga diharap dapat memberi penghayatan dan pematuhan dalam Islam terutama membabitkan waktu perniagaan dan aurat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!