Lotus’s Malaysia, Altervim meterai PPA
SHAH ALAM - Lotuss Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Lotus’s Malaysia) memeterai Perjanjian Pembelian Kuasa (PPA) selama 20 tahun dengan Altervim Co Ltd (Altervim) sehingga tahun 2042 bermula dari 30 Mac 2023.
Presiden Lotus’s Malaysia, Kenneth Chuah berkata, perjanjian itu melancarkan Lotus’s Malaysia ke dalam fasa 3 untuk pemasangan panel fotovoltaik (PV) solar di 21 bumbung stor Lotus’s Malaysia dan Pusat Pengedaran Ambien di Bukit Beruntung, Selangor.
“Secara kolektif, pemasangan panel solar PV yang bakal siap pada September 2023 akan menjana sebanyak 150 juta kilowatt-jam (kWj) tenaga bersih setahun.
"Ini bersamaan dengan pencahayaan lebih daripada 3,500 rumah setiap tahun. Tenaga bersih yang dijana ini akan dapat mengimbangi sejumlah 9,585 tan CO2 ke atmosfera,” katanya dalam satu kenyataan.
Kenneth berkata, Altervim akan melabur sepenuhnya dalam 22 solar PV yang merangkumi reka bentuk, pemasangan, operasi dan penyelenggaraan sistem solar PV.
“Plus Xnergy Sdn Bhd telah dilantik sebagai Pakar Tenaga Bersih tempatan untuk projek ini. Selain dari Pusat Pengedaran Ambien di Bukit Beruntung, 21 stor Lotus’s Malaysia yang turut dilengkapi panel solar PV melalui PPA Lotus’s – Altervim seperti di Taiping, Perak; Kuala Selangor dan Rawang, Selangor; Bahau, Negeri Sembilan dan Kota Bharu, Kelantan,” katanya.
Kenneth berkata, Lotus’s Malaysia memeterai PPA pertamanya dengan NE Suria Satu Sdn Bhd (NESS) melibatkan pemasangan panel solar PV pada 15 stornya.
“Lotus’s Malaysia kemudian memeterai PPA kedua dengan NEFIN Group pada tahun 2022 untuk pemasangan panel solar PV di 13 lagi stornya.
“PPA Lotus’s -Altervim ini akan posisi Lotus’s Malaysia sebagai satu pemasangan solar PV komersial yang terbesar di Malaysia setakat ini,” tambah Kenneth.
Lotus’s Malaysia kini mengendalikan 65 buah stor dan dua pusat pengedaran di Semenanjung Malaysia.
Dengan gabungan PPA pertama, kedua dan yang terkini, 75 peratus daripada fasiliti Lotus’s (49 stor and 1 pusat pengedaran) akan dikuasakan dengan solar pada akhir tahun 2023, secara langsung mengukuhkan komitmen syarikat ke arah matlamat karbon neutral menjelang tahun 2030.
Sejak beberapa tahun lalu, Lotus’s Malaysia telah melabur dalam inisiatif kecekapan tenaga dalam operasinya melalui penggunaan lampu LED, pendingin hawa dan penyejuk (refrigerant) yang lebih cekap di stor dan pusat pengedarannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!