Bank Rakyat umum dividen 15 peratus

Ewon (tengah) diiringi Mohd Irwan (dua dari kiri) mengumumkan kadar dividen Bank Rakyat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur pada Khamis. - FOTO MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Ewon (tengah) diiringi Mohd Irwan (dua dari kiri) mengumumkan kadar dividen Bank Rakyat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur pada Khamis. - FOTO MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
A
A
A

BANK Rakyat mengumumkan pembayaran dividen 15 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 dengan jumlah pembayaran sebanyak RM426.77 juta.

Dividen itu menyamai kadar pada tahun kewangan sebelumnya dan pembayarannya akan diagihkan kepada 799,511 anggotanya bermula Khamis (hari ini).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, Bank Rakyat masih lagi mengekalkan prestasi kadar dividen berjumlah dua digit untuk tempoh lebih 30 tahun.

Beliau percaya, pencapaian itu adalah hasil daripada komitmen Bank Rakyat untuk mencapai mandat yang dipertanggungjawab bagi memperkasa kesejahteraan ekonomi anggota dan pelanggannya.

"Saya berharap dengan penerimaan dividen ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban kewangan yang dihadapi anggota dalam mengharungi pascapandemik Covid-19.

"Di samping itu ia membantu anggota dalam membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi," katanya pada majlis mengumumkan dividen Bank Rakyat dan prestasi kewangan Kumpulan Bank Rakyat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 di Menara Kembar Bank Rakyat di sini pada Khamis.

Hadir sama, pemangku Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dr Mohammad Hanis Osman.

Ewon memberitahu, selain itu, Kumpulan Bank Rakyat turut meneruskan sokongan terhadap mandat tahunan untuk ekosistem koperasi dengan menyumbang sebanyak dua peratus daripada keuntungan sebelum cukai dan zakat berjumlah RM33.57 juta kepada Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi.

Katanya, satu peratus bersamaan RM16.78 juta lagi disumbangkan kepada Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi menjadikan jumlah sumbangan bagi tahun 2022 adalah sebanyak RM50.35 juta.

Sementara itu, Mohd Irwan berkata, Kumpulan Bank Rakyat merekodkan keuntungan sebelum cukai dan zakat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 yang lebih tinggi sebanyak RM1.70 bilion berbanding RM1.63 bilion pada tahun sebelumnya.

Menurutnya, keuntungan sebelum cukai dan zakat yang lebih tinggi itu dicapai melalui kekukuhan asas dan fokus terhadap aktiviti teras, meskipun ketidaktentuan ekonomi susulan pasca pandemik.

"Prestasi kewangan tahun 2022 ini turut didorong oleh aktiviti pembiayaan dan pelaburan kumpulan, mencerminkan kekuatan dan daya tahan yang telah dibina oleh kumpulan sejak tahun-tahun kebelakangan ini.

"Di samping itu, peruntukan penjejasan yang mencukupi pada tahun semasa, sejajar dengan aliran industri juga telah meningkatkan prestasi kumpulan," ujarnya.

Mohd Irwan menegaskan, pencapaian berkenaan turut didorong oleh pendapatan operasi kumpulan yang meningkat sebanyak 3.42 peratus kepada RM5.90 bilion berbanding RM5.71 bilion sebelum ini didorong oleh pertumbuhan pembiayaan yang kukuh dalam segmen perbankan runcit dan perniagaan, serta dibantu oleh pergerakan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Kata beliau, prestasi kumpulan yang lebih baik itu turut disokong peningkatan pendapatan berasaskan fi dan kutipan susulan pembiayaan hapus kira sebanyak 24.10 peratus kepada RM440.79 juta daripada RM355.19 juta pada tahun sebelumnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!