Tiga rakan tidak mengaku tunggang motosikal secara bahaya
KEMAMAN - [DIKEMAS KINI] Tiga rakan mengaku tidak salah ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini, pada Khamis atas dakwaan menunggang motosikal secara merbahaya.
Tertuduh yang masing-masing berusia 19 tahun membuat pengakuan itu setelah pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffudin
Tertuduh didakwa menunggang motosikal di atas jalan dengan melulu serta dengan cara melakukan aksi mengangkat tayar hadapan (willie), bersaing sesama sendiri dengan menundukkan kepala selari dengan meter dan aksi zig zag.
Perbuatan itu di dakwa dilakukan di kilometer (KM) 57, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan kira-kira jam 1 pagi pada 26 Mac lalu.
Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan boleh dihukum dibawah seksyen yang sama.
Mahkamah membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM4,000 dan sebutan semula kes 15 Mei depan.
Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azhani Azman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Berdasarkan fakta kes, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Kemaman telah membuat pemantauan di sekitar KM 157 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan jam 1 pagi pada 26 Mac lalu.
Pengadu melihat dengan jelas tiga motosikal ditunggang tiga lelaki sedang melakukan aksi mengangkat tayar hadapan (willie), bersaing sesama sendiri serta zig zag sambil menundukkan kepala selari dengan meter pada jarak kira-kira 500 meter di mana aksi tersebut merbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.
Kesemua saspek telah memberhentikan motosikal di hadapan sebuah kedai makan di Jalan Jakar Chukai, di sini jam 1.35 pagi dan ditahan sebelum dibawa ke BSPT IPD Kemaman untuk tindakan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!