Salur jenayah alam sekitar

Pelepasan anak ikan lampam dilakukan selepas perasmian program Hari Bumi 2019 peringkat negeri Selangor, semalam.
Pelepasan anak ikan lampam dilakukan selepas perasmian program Hari Bumi 2019 peringkat negeri Selangor, semalam.
A
A
A

KALUMPANG - Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri mahu masyarakat menyalurkan sebarang salah laku jenayah alam sekitar kepada jabatan berkenaan untuk tindakan lanjut.

Pengarah JAS Selangor, Shafe'ee Yasin berkata, orang ramai juga perlu bertindak sebagai mata dan telinga JAS dengan menyebarkan kempen kesedaran pemuliharaan alam sekitar di media sosial.

Menurutnya, kes pelupusan haram buangan berjadual di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang dan Sungai Semenyih baru-baru ini membuktikan kerjasama masyarakat amat penting.

"Maklumat mengenai sebarang salah laku jenayah alam sekitar di persekitaran masing-masing perlu disalurkan dengan segera.

"Tidak wajar kita membiarkan salah laku jenayah ini memusnahkan ekosistem sungai yang menjadi nadi kehidupan pelbagai spesies," katanya pada perasmian program Hari Bumi 2019 peringkat negeri Selangor, semalam.

Majlis disempurnakan Ahli Parlimen Hulu Selangor, June Leow Hsiad Hui.

Shafe'ee juga meminta kerjasama masyarakat memberi maklumat mengenai kejadian pembakaran terbuka dan pencemaran oleh kilang yang melepaskan buangan ke sungai.

Shafe'ee berkata, JAS Selangor menjalankan program kesedaran melibatkan agensi kerajaan pada setiap tahun berbentuk seminar, ceramah dan pameran.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga mahu pelajar dan penuntut institusi pengajian tinggi menguar-uarkan promosi kempen tersebut di platform paling berkesan masa kini.

Dalam pada itu katanya, sambutan Hari Bumi tahun ini bertemakan Protect Our Species memberi penekanan terhadap langkah menangani pencemaran yang mengancam flora dan fauna.

"Hidupan ini bukan sahaja melengkapkan ekosistem malah turut menjadi tarikan pelancong," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!