Lelaki hancur empat jari akibat mercun bola
ALOR SETAR - Seorang lelaki hancur empat jari tangan kiri selepas mercun bola yang digunakan untuk menghalau anjing liar meletup dalam kejadian di Pokok Sena di sini pada Khamis.
Dalam kejadian jam 10 malam itu, mangsa dikatakan mencucuh mercun bola untuk menghalau anjing liar yang mengganggu kambing peliharaannya berhampiran rumah di Kampung Paya Besar di sini.
Mangsa yang berusia 34 tahun berkata, dia tidak sempat melemparkan mercun itu disebabkan ia meletup terlebih dulu.
"Berikutan letupan itu, saya lihat tangan saya sudah nampak tulang putih manakala empat jari saya hancur, selain ada cedera sikit di perut.
"Di kawasan rumah, memang banyak anjing liar dan sebelum ini pernah makan kambing saya antara tujuh hingga lapan ekor," katanya kepada pemberita pada Khamis.
Menurutnya, disebabkan itu dia terpaksa membaling mercun bola untuk menghalau anjing liar yang kerap mengganggu kambingnya.
"Namun, tidak sangka terjadi begini dan saya dibawa untuk mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB)," katanya.
Mangsa berkata, dua jarinya terpaksa dipotong dan dua lagi kudung akibat kejadian terbabit.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir mengesahkan kejadian itu berlaku pada Rabu.
Bagaimanapun, Ahmad Shukri memaklumkan tiada laporan polis dibuat setakat ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!