Bumbung SMK Cheras Jaya runtuh, KPM tunggu laporan JKR

Hui Ying (kiri) melihat keadaan bumbung runtuh di SMK Cheras Jaya pada Khamis.
Hui Ying (kiri) melihat keadaan bumbung runtuh di SMK Cheras Jaya pada Khamis.
A
A
A

KAJANG - Tindakan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cheras Jaya yang pantas mengarahkan pengosongan di blok yang memiliki struktur bumbung tidak kukuh dan berbahaya telah menyelamatkan pelajar-pelajarnya.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying turut meluahkan rasa syukur kerana tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut.

"Pengetua mendapati ada serpihan kecil bumbung telah terjatuh pada jam 12.40 tengah hari, sebelum kawasan itu dikosongkan serta merta.

"Syukur tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden bumbung runtuh kira-kira jam 1.18 petang," katanya pada sidang akhbar selepas melawat sekolah berkenaan pada Khamis.

Beliau berkata, sebanyak dua kelas terjejas dalam kejadian itu, namun sesi pembelajaran pelajar tetap diteruskan dan mereka telah ditempatkan di kelas lain.

"Selain itu, bengkel, makmal sains dan bilik koperasi di blok berkenaan terpaksa ditutup sementara," katanya.

Mengulas lanjut katanya, pihak sekolah telah memaklumkan kepada kementerian berkaitan keadaan struktur bumbung itu pada Januari lalu.

Jelasnya, permohonan penyelenggaraan baik pulih bumbung dibuat pada Januari lalu adalah RM450,000, namun kos tersebut dijangka meningkat susulan kejadian bumbung runtuh.

Buat masa ini beliau berkata, pihaknya sedang menunggu laporan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) yang menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian bumbung runtuh membabitkan sebuah blok sekolah berkenaan.

Hui Ying turut berharap JKR dapat menyiapkan segera laporan tersebut untuk tindakan lanjut.

"JKR telah mengadakan mesyuarat susulan insiden bumbung runtuh itu, saya percaya JKR akan menyiapkan laporan tersebut secepat mungkin untuk kos peruntukan baik pulih," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!