Dua lelaki edar cecair vape mengandungi dadah diberkas

Botol vape disyaki mengandungi dadah dirampas.
Botol vape disyaki mengandungi dadah dirampas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua lelaki diberkas kerana disyaki terlibat dalam aktiviti memproses dan mengedar dadah dalam bentuk cecair vape bagi pasaran tempatan di Setapak pada Isnin.

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dalam kenyataan pada Khamis berkata, pemeriksaan ke atas kereta yang digunakan dua suspek berusia 20 dan 22 tahun itu menjumpai 90 botol cecair vape disyaki mengandungi dadah sebanyak 900 mililiter bernilai RM13,500.

"Sindiket itu dipercayai mula aktif sejak penghujung tahun lalu. Modus operandi mereka adalah mencampurkan cecair dadah ke dalam perisa vape dan menggunakan perkhidmatan kurier bagi mengedarkan dadah di sekitar Lembah Klang.

"Perisa vape ini akan memberi kesan khayal dengan lebih cepat," katanya.

Menurut kenyataan itu, saringan awal yang dijalankan mendapati kedua-dua suspek negatif dadah manakala hasil semakan mendapati mereka tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

"Suspek direman selama enam hari bermula Selasa hingga Ahad bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"JSJN menyeru masyarakat untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling anda melalui Hotline JSJN di talian 012-208 7222," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!