KKM pastikan Suruhanjaya Reformasi Kesihatan ditubuh

Dr Zaliha pada Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen, pada Khamis. - Foto Bernama
Dr Zaliha pada Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen, pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) akan memastikan penubuhan Suruhanjaya Reformasi Kesihatan dapat dilaksanakan bagi menangani isu berkaitan skim perkhidmatan petugas kesihatan terutamanya doktor.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, cadangan penubuhan suruhanjaya berkenaan akan dikemukakan menerusi pembentangan Kertas Putih Kesihatan di Parlimen nanti.

"Penubuhan suruhanjaya ini dalam pilar yang keempat (Kertas Putih Kesihatan). Jadi, kita akan pastikan penubuhan Suruhanjaya Reformasi Kesihatan.

"Kita ada perkataan reformasi supaya ia lebih terperinci lagi untuk memastikan perjalanan Kertas Putih Kesihatan yang akan dibentangkan itu dapat dilaksanakan sebaiknya,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2022) 2023 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat, di sini pada Khamis.

Sebelum ini, Dr Zaliha dilapor berkata, KKM menyasarkan pembentangan Kertas Putih Kesihatan di Parlimen pada pertengahan tahun ini dengan beliau meletakkan sepenuh komitmen memastikan kandungan Kertas Putih itu dapat direalisasikan.

Mengenai Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022, beliau mengulangi pendirian KKM untuk meneruskan rang undang-undang tersebut dan akan membentangkannya di Parlimen dalam masa terdekat.

Selain itu, menurutnya KKM memperuntukkan sejumlah RM45 juta bagi pelaksanaan aktiviti kawalan denggi bagi 2022 hingga 2023.

"KKM sememangnya mengambil maklum tentang kenaikan kes denggi khususnya di negeri seperti Selangor yang suku pertama ini sahaja ada lebih 13,000 kes denggi,” katanya.

Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2022) 2023 dengan peruntukan sebanyak RM60,174,928,000 kemudiannya diluluskan Dewan Rakyat dengan lebih suara bersetuju.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung pada Isnin, 3 April. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!