Hanya dua negeri minat tukar rumput Zeon Zoysia

Hannah (tengah) melawat padang kriket pada Majlis Berbuka Puasa anjuran Persatuan Kriket Malaysia di Bayuemas Oval.
Foto Bernama
Hannah (tengah) melawat padang kriket pada Majlis Berbuka Puasa anjuran Persatuan Kriket Malaysia di Bayuemas Oval. Foto Bernama
A
A
A

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengesahkan hanya menerima dua surat permohonan iaitu daripada kerajaan Kedah dan Perak untuk peruntukan menaik taraf padang bola sepak mereka dengan penanaman rumput jenis Zeon Zoysia.

Beliau bagaimanapun berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memerlukan sedikit masa untuk meneliti kandungan surat berkenaan.

"Mesyuarat kedua bersama Exco dari semua negeri akan diadakan dalam masa terdekat untuk mendapatkan maklum balas terkini daripada wakil setiap negeri sekiranya mereka masih berminat atau menolak tawaran yang diberikan KBS.

"Mereka (kerajaan Kedah dan Perak) sudah sedia sebab mereka sudah menghantar surat permohonan tukar rumput Zeon Zoysia. Namun, kita tetap akan (adakan) mesyuarat bersama Exco negeri-negeri untuk mendapatkan ketetapan mereka berhubung pemilikan rumput itu," katanya kepada pemberita selepas majlis bersama Persatuan Kriket Malaysia (MCA) di sini semalam.

Hannah berkata, negeri-negeri yang berminat perlu memastikan penyelenggaraan awal seperti memastikan infrastruktur padang berada dalam keadaan baik dilaksanakan sebelum penyerahan

Januari lepas, KBS menawarkan peruntukan melalui dana geran padanan kepada semua Exco belia dan sukan negeri bagi menaik taraf padang bola sepak dengan penanaman rumput jenis Zeon Zoysia di satu padang yang dipilih dengan penyelenggaraan tahunan padang berkenaan menjadi tanggungjawab kerajaan negeri masing-masing.

Dalam perkembangan lain, Hannah berkata, pihaknya sedia maklum mengenai masalah pihak MCA yang tidak memiliki padang latihan tetap ketika ini dan beliau berterima kasih kepada Sime Darby Properties yang menawarkan badan induk itu menjalankan latihan di Bayuemas Oval di Klang, bermula Ogos tahun lalu.

"Sukan ialah non-profit. Jadi susah untuk mereka cari dana sendiri dan fokus mereka seharusnya kepada isu pembangunan sukan tetapi bila fasiliti infrastruktur tiada memang sukar untuk mereka (fokus).

"Jadi saya hargai pihak korporat yang membantu dan kali ini KBS memang ada penambahan bajet dan mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebab bantu sukan dapat lebih perhatian dalam pelaksanaan bajet," katanya.

Sementara itu, Presiden MCA Mohammed Iqbal Ali Kassim Ali berharap skuad kriket negara mempunyai 'rumah tetap' untuk bertapak sekiranya hasrat untuk berada di Bayuemas Oval selama-lamanya tidak kesampaian, selain mengharapkan badan korporat tampil membantu dan bekerjasama dengan mereka.

"Kita harap jumpa jalan penyelesaian sama ada boleh duduk di sini selama-lamanya. Saya berharap KBS akan bersama kita dan menyokong kita namun sejak beberapa tahun lepas, ia tidak berlaku demikian. Tapi saya yakin (Menteri Belia dan Sukan) akan bantu kita melalui waktu sukar ini," katanya.

Pada 30 Jun tahun lalu, MCA terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada padang kesayangan mereka di Kinrara Oval, Puchong selepas 18 tahun beroperasi di situ. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!