Polis mahu capai BMI bawah 28
SEREMBAN - Semua pegawai dan anggota polis di Negeri Sembilan dinasihatkan supaya mempunyai berat ideal sekurang-kurangnya bacaan indeks jisim badan (BMI) bawah 28.
Pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, perkara itu penting bagi meningkatkan produktiviti perkhidmatan pasukan itu agar lebih cemerlang.
Katanya, pihaknya akan menganjurkan program 'Trim and Fit' untuk pegawai dan anggota polis yang memiliki berat badan berlebihan bagi mencapai sasaran itu.
"Melalui program ini kita mahu turunkan berat badan pegawai dan anggota polis Negeri Sembilan yang berlebihan.
"Program ini telah pun dilaksanakan di peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan dan selepas ini kita akan laksanakan di peringkat daerah pula," katanya selepas menziarahi pegawai dan anggota polis Negeri Sembilan yang sedang dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ).
Mohamad berkata, beliau menekankan setiap pegawai dan anggota polis negeri ini memiliki bacaan BMI yang ideal supaya mereka sentiasa berada dalam keadaan sihat, cergas dan segak.
Menurutnya, langkah itu dapat meningkatkan produktiviti kerja mereka dan secara tidak langsung mengurangkan jumlah pegawai dan anggota polis negeri ini yang terpaksa mengambil cuti sakit (MC).
"Jika selalu MC akan mengurangkan produktiviti pasukan dan juga merugikan kerajaan yang membayar gaji mereka termasuk menanggung perbelanjaan rawatan, tetapi kalau cuma ada beberapa orang terpaksa MC itu perkara biasa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!