PAPSMA sokong beku kelulusan pekerja asing
PUTRAJAYA - Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) menyokong tindakan kerajaan membekukan kelulusan pekerja asing buat sementara waktu.
Setiausaha Agungnya, Dr Sukumaran Nair berkata, pembekuan sementara itu perlu dilakukan sehingga kemasukan tenaga kerja asing dapat dikawal khususnya dari Bangladesh.
Menurutnya, tindakan itu sekali gus dapat menyekat kuasa monopoli pihak tertentu dengan mengenakan kos perekrutan tinggi, mengehadkan agensi pekerjaan, mengenakan pelbagai sekatan seperti pelaksanaan sistem MIGRAM dan sebagainya.
"Sistem MIGRAMS itu mengenakan kos RM100 untuk setiap pendaftaran setiap pekerja bagi kemasukan ke negara ini dengan hanya enam agensi pekerjaan Bangladesh dibenarkan merekrut pekerja," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, setakat ini hampir satu juta kelulusan diberikan Kementerian Sumber Manusia membawa masuk pekerja adalah di bawah kendalian enam agensi itu.
“Anehnya, pembayaran ini dikenakan hanya untuk pekerja Bangladesh yang dibayar melalui e-wallet antarabangsa oleh agensi-agensi pekerjaan Bangladesh," katanya.
Sukumaran berkata, jika sistem monopoli itu tidak disekat serta-merta, sasaran kemasukan pekerja asing dijangka mengambil masa terlalu lama.
Justeru, PAPSMA mencadangkan supaya pengrekrutan dari negara Bangladesh dibekukan serta-merta sehingga satu pencapaian adil dapat diselenggarakan oleh kedua-dua kerajaan.
“PAPSMA memohon kementerian mengambil tindakan serius dan mengkaji struktur dan protokol lebih professional bagi membendung gejala melambakkan pekerja asing di negara ini jika keadaan ini berlarutan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!