Wartawan WSJ kantoi mengintip Rusia?

Gershkovich pernah berkhidmat dengan beberapa media sebelum ini. - Foto Agensi
Gershkovich pernah berkhidmat dengan beberapa media sebelum ini. - Foto Agensi
A
A
A

MOSCOW - Seorang wartawan akhbar Wall Street Journal (WSJ) didakwa terlibat aktiviti pengintipan di Rusia.

Agensi berita tempatan memetik kenyataan perkhidmatan keselamatan FSB pada Khamis melaporkan warga Amerika Syarikat (AS), Evan Gershkovich, 31, telah ditahan di bandar Yekaterinburg di Ural ketika cuba mendapatkan dokumen sulit.

“FSB berjaya membongkar aktiviti haram wartawan biro Moscow tersebut. Dia disyaki mengintip demi kepentingan Washington dan mengumpulkan maklumat mengenai perusahaan kompleks perindustrian tentera Rusia yang merupakan rahsia penting negara,” jelas laporan itu.

Sebelum menyertai WSJ, Gershkovich yang boleh bertutur dalam bahasa Rusia pernah berkhidmat untuk Agence France-Presse (AFP) di Moscow dan menjadi wartawan untuk laman berita berbahasa Inggeris, The Moscow Times.

Menurut laporan beberapa media, dia ditugaskan untuk membuat liputan tentang peperangan di Ukraine dan kumpulan upahan Wagner.

FSB bagaimanapun tidak menyatakan tarikh penahanannya.

Jika disabit bersalah di bawah undang-undang Rusia, Gershkovich boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun. - Agensi


Info

Merupakan wartawan pertama rangkaian berita Amerika yang diberkas atas tuduhan mengintip di Rusia sejak Perang Dingin tercetus. Penahanannya berlaku di tengah-tengah ketegangan global yang semakin meruncing berhubung konflik Moscow-Kiev.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!