26 bazar Ramadan niaga tanpa tunai - MBSJ
PETALING JAYA - Sebanyak 26 tapak bazar Ramadan beroperasi dalam kawasan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) beroperasi dengan kaedah urus niaga tanpa tunai atau cashless pada tahun ini.
Pengarah Jabatan Pelesenan MBSJ, Nik Zalina Megat Muda berkata, usaha itu dilaksanakan dengan kerjasama Selangor Information Technology & Digital Economy Corporation (SIDEC).
Menurutnya, pada tahun ini juga MBSJ turut meneruskan tradisi berkunjung ke beberapa lokasi tumpuan bagi memperkasakan inisiatif hijau serta bertemu peniaga dan pengunjung bazar.
"Dalam usaha menarik minat pengunjung menyokong Kempen Kelestarian Alam Sekitar pula, MBSJ mengedarkan kupon makanan bernilai RM10 kepada 100 orang pengunjung bazar Ramadan terawal membawa bekas makanan di lokasi terpilih.
"Tahun ini penyediaan 'Menu Rahmah' turut disediakan di bazar Ramadan dengan harga serendah RM 5 dalam usaha menyambut saranan kerajaan," katanya ditemui sempena Program 'Walkabout' Bazar Ramadan MBSJ USJ 4 di sini pada Khamis.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze.
Dalam pada itu, Nik Zalina berkata, MBSJ meneruskan beberapa inisiatif hijau kepada para peniaga dan pengunjung bazar Ramadan seperti Kempen Larangan Penggunaan Bekas Polisterina dan penyedut minuman plastik.
Selain itu, katanya, MBSJ turut melaksanakan Kempen Sayangi Bumi Kita, Kempen Transaksi Tanpa Tunai (Cashless) dan Kempen Kitar Semula Minyak Masak Terpakai.
Mengenai Program Walkabout' Bazar Ramadan MBSJ 2023 katanya, program berkenaan diadakan melibatkan empat lagi lokasi mengikut tarikh dan zon yang ditetapkan
"Lokasi terbabit ialah di Bazar Ramadan Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan, Bazar Ramadan BK 5, Bandar Kinrara, Bazar Ramadan Taman Puchong Prima (OTK) dan Bazar Ramadan Taman Sri Serdang," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!