36 notis dikeluarkan kepada peniaga bazar Ramadan di Perak

Sivanesan mengambil sampel makanan untuk dianalisis oleh Jabatan Kesihatan Negeri Perak.
Sivanesan mengambil sampel makanan untuk dianalisis oleh Jabatan Kesihatan Negeri Perak.
A
A
A

TAPAH - Sebanyak 36 notis di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 dikeluarkan kepada pengendali makanan yang melakukan kesalahan sepanjang minggu pertama Ramadan ini.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, A Sivanesan berkata, pengendali makanan dikesan telah melanggar Peraturan 30 hingga 33, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

"Kesalahan itu merangkumi tidak menghadiri latihan pengendalian makanan, tidak mendapatkan suntikan anti tifoid, tidak mematuhi etika pakaian pengendali makanan dan kebersihan diri.

"Bagi pemilik premis, peraturan 34 dikenakan iaitu gagal memastikan premis dalam keadaan bersih," katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Operasi Ramadan peringkat negeri Perak di Dewan Merdeka di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Perak, Dr Sirajuddin Hashim.

Sivanesan (kiri) mengimbas kod QR yang disediakan pada Pelancaran Operasi Ramadan peringkat negeri Perak di Tapah.
Sivanesan (kiri) mengimbas kod QR yang disediakan pada Pelancaran Operasi Ramadan peringkat negeri Perak di Tapah.

Sivanesan berkata, sebanyak 60 sampel makanan sedia dimakan diambil dan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Ipoh bagi analisis ujian mikrobiologi dan kimia.

"Setakat ini, keputusan bagi sampel tersebut belum diterima dan ia mengambil masa antara tujuh hingga 14 hari.

"Kita menyasarkan sebanyak 264 sampel makanan akan diambil melibatkan keseluruhan 5,352 gerai di bazar Ramadan yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya.

Tambah beliau, pengunjung juga boleh menyalurkan aduan kebersihan dan keselamatan makanan dengan mengimbas kod QR yang disediakan di setiap bazar.

"Peniaga makanan perlu mengutamakan kebersihan dalam penyediaan dan penjualan makanan serta persekitaran.

"Makanan yang dijual perlu dalam bekas bertutup atau dibungkus dengan sempurna selain menggunakan peralatan yang sesuai semasa urus jual beli makanan dan minuman," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

Artikel Disyorkan