MANIS kesal pengamal media digelar 'bingai'
SEREMBAN - Kelab Media Negeri Sembilan (MANIS) kesal dengan kenyataan pembantu kepada Menteri Besar Negeri Sembilan yang menggelarkan wartawan Sinar Harian sebagai 'bingai' diakaun Facebooknya.
Pengerusinya, Arfi Ahmad berkata, adalah tidak wajar beliau mengeluarkan kenyataan sebegitu dengan menggelarkan seorang pengamal media begitu rendah dan hina sekali.
"Kerajaan dan media seperti "aur dan tebing" di mana saling perlu antara satu sama lain.
"Jangan dikeruhkan lagi air di hulu kerana nanti air di hilir juga akan keruh, begitu lah ibaratnya media dan kerajaan," katanya dalam satu kenyataan.
Lebih menyedihkan beliau berkata, sehingga kini tiada satu pun permohonan maaf dari individu berkenaan dan langsung tidak mengakui kesilapannya.
Katanya, ini bukan bermakna pengamal media tidak boleh ditegur, tetapi biarlah secara berhemah dan bukannya menjadikan media sosial sebagai tempat untuk menyalahkan pengamal media.
"Lebih dikesali beliau yang berkhidmat dengan kerajaan negeri tidak mencerminkan slogan Menteri Besar Negeri Sembilan iaitu Bersih, Mufakat dan Sejahtera.
"Apatah lagi beliau bertugas di negeri beradat ini yang mana lazimnya orang beradat ini adalah beradab sopan dan nilai murni dalam tutur kata bahasanya apatah lagi ketika menjalankan tugasnya yang diamanahkan oleh menteri besar," katanya.
Menerusi akaun Facebook individu berkenaan berkata, 'nampak tak bingainya wartawan Sinar ini, lain dicakap, lain dikeluarkan.
"Boleh pula editor dia jawab salah tafsir dan beri tajuk ikut kefahaman sendiri.
"Takut nak kena saman boleh pula tukar tajuk baru. H@#$% tul ler," tulisnya.
Sementara itu Gerakan Media Merdeka (Geramm) menerusi akaun Facebook rasminya berkata, sebagai pegawai kepada menteri besar, tidak sepatutnya menyuarakan perkara itu di media sosial kerana terdapat cara lain lagi boleh dilakukan untuk selesaikan sebarang salah faham.
Katanya, kerajaan negeri boleh buat kenyataan media minta penjelasan dari editor dan wartawan secara profesional dan terbuka.
"Tapi bukannya dengan gunakan kata kesat sebegitu. Perbuatan 'menembak' wartawan sepatutnya tidak dilakukan oleh kerajaan yang telah menyatakan komitmen menyokong kebebasan media.
"Kami berharap agar Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai pentadbir tertinggi kerajaan negeri dapat pastikan hubungan profesional dengan pengamal media dan wartawan Negeri Sembilan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!