Ambulans terbabas masuk longkang, doktor, jururawat cedera
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, kemalangan mengakibatkan pemandu ambulans yang juga anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Gua Musang dan seorang doktor di Hospital Gua Musang tersepit dalam kenderaan.
Menurut beliau, anggota bomba dipanggil bagi membantu mengeluarkan dua mangsa, masing-masing berusia 28 tahun yang cedera.
"Anggota APM mengalami kecederaan di kepala manakala doktor patah teruk di tangan kiri," katanya melalui kenyataan pada Khamis.
Beliau memberitahu, seorang jururawat perempuan berusia 36 tahun yang berada di bahagian penumpang belakang mengalami kecederaan ringan.
Jelasnya, siasatan lanjut mendapati kemalangan berlaku ketika ambulans berkenaan dalam perjalanan dari Hospital Kuala Krai menuju ke Hospital Gua Musang selepas menghantar pesakit.
Choon Foo berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu ambulans terpaksa mengelak ke kiri kerana pacuan empat roda yang tidak dapat dipastikan nombor pendaftaran tiba-tiba memasuki laluan ambulans ketika melalui selekoh di kawasan itu.
"Akibatnya tayar ambulans tercabut serta melantun ke bahu jalan.
"Kenderaan tidak dapat dikawal lalu terbabas ke dalam longkang di sebelah kiri jalan sebelum melanggar tiang elektrik," katanya.
Jelasnya, semua mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut.
Kes disiasat bawah Seksyen 43(1) APJ 1987 kerana memandu secara tidak cermat sehingga menyebabkan kemalangan jalan raya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh tampil menyalurkannya kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Gua Musang Kelantan atau boleh terus berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhamad Rahmad Zakaria di talian 019-4742270 bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!