Op Ramadan: JKN Melaka keluarkan 52 kompaun
MELAKA - Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka mengeluarkan 52 kompaun keseluruhan berjumlah RM22,000 di bawah Sekyen 32B Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) 2009 dalam Op Ramadan sejak seminggu lepas.
Pengarahnya, Datuk Dr Rusdi Abd Rahman berkata, tindakan itu diambil hasil pemeriksaan ke atas kilang ais, ayam dan daging serta bufet Ramadan di hotel berikutan tahap kebersihan yang tidak memuaskan.
"Hasil pemeriksaan di 14 kilang tersebut enam kompaun berjumlah RM3,250 dikeluarkan, manakala 46 kompaun berjumlah RM18,750 pula dikeluarkan hasil pemeriksaan di 44 hotel yang menyediakan bufet Ramadan dengan dua daripadanya diarahkan ditutup.
"Pihak kami juga melakukan pemeriksaan di 897 premis di tiga daerah iaitu Jasin, Melaka Tengah dan Alor Gajah dengan tahap penilaian kebersihan kesemua premis adalah melebihi 80 peratus memuaskan," katanya kepada pemberita ketika tinjauan di Bazar Ramadan Peringgit di sini pada Khamis.
Dr Rusdi berkata, setakat minggu pertama Ramadan tiada kompaun dikenakan terhadap mana-mana peniaga bazar Ramadan di bawah Seksyen 32 PPKM 2009, namun pihaknya tetap mengingatkan supaya peniaga terus mematuhi peraturan ditetapkan.
Beliau berkata, hasil pemantauan di bazar Ramadan juga mendapati masih terdapat segelintir peniaga yang melakukan kesalahan seperti tidak memakai apron dan topi, memakai cincin dan berkuku panjang panjang ketika berniaga.
"Pada minggu pertama ini JKNM hanya mengambil pendekatan memberi nasihat dan tidak mengeluarkan kompaun, namun selepas ini pihak kami tidak akan berkompromi dan tindakan tegas diambil terhadap mereka yang tidak mengikut syarat ditetapkan.
"Selain itu, pengunjung juga boleh menyalurkan aduan mengenai kebersihan dan keselamatan makanan yang dijual menerusi kod QR yang terdapat di gegantung di setiap bazar Ramadan selain melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my,” katanya.
Beliau berkata, lebih 80 anggota penguat kuasa JKNM digerakkan untuk memantau makanan di bazar Ramadan di ketiga-tiga daerah tersebut bagi memastikan tahap kebersihan dipatuhi selain menjamin keselamatan dan kualiti makanan yang dijual kepada pengunjung. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!