Alzara taja 500 juadah berbuka majlis Iftar ala Madinah

Sebahagian staf promosi Alzara berbuka puasa pada program Iftar Ala Madinah @Karangkraf yang diadakan di Kompleks Karangkraf pada Khamis. Gambar kecil: Mathan
Sebahagian staf promosi Alzara berbuka puasa pada program Iftar Ala Madinah @Karangkraf yang diadakan di Kompleks Karangkraf pada Khamis. Gambar kecil: Mathan
A
A
A

SHAH ALAM - Alzara Foods Sdn Bhd menyumbang 500 pek juadah berbuka puasa pada program Iftar ala Madinah @Karangkraf pada Khamis.

Pengurus pemasarannya, G Mathan berkata, sumbangan julung kali itu dibuat bagi meraikan umat Islam menjalani ibadah berkenaan sempena bulan Ramadan.

“Seperti yang kita sedia maklum, sekarang ini juga merupakan saat di mana aktiviti terbuka mula diadakan secara meluas setelah beberapa tahun kita dilanda pandemik Covid-19.

“Orang ramai juga mula melibatkan diri dan tidak berasa janggal dengan aktiviti keramaian seperti sekarang.

“Jadi, kami fikir adalah sangat baik kalau kami dapat menyumbangkan sesuatu bagi memeriahkan perkara ini,” kata beliau kepada Sinar Harian.

Mathan menambah, sebagai rakyat Malaysia yang didedahkan dengan pelbagai budaya dan adat resam sejak kecil, beliau melihat ibadah puasa yang dijalani umat Islam mempunyai keunikan tersendiri.

Justeru, atas dasar itu pihaknya memilih untuk menaja sumbangan berbuka puasa bersama program ini memandangkan ia merupakan lokasi tumpuan daripada kalangan penduduk di sekitar Shah Alam.

“Majlis Iftar ala Madinah ini pun berjaya mengumpulkan ramai warga Muslim di sekitar sini untuk berbuka puasa, jadi kami kira memang tidak sia-sia untuk berkolaborasi bagi menjayakannya,” ujarnya.

Selain sumbangan tersebut, Alzara turut memberikan minuman teh tarik percuma kepada peserta program berkenaan selain membuka reruai jualan di sekitar kompleks berkenaan.

“Di reruai ini, kita adakan pusingan roda impian bagi sesiapa yang membuat pembelian produk kami dengan harga RM20 dan ke atas, jadi jangan lepaskan peluang,” kata beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!