Pendatang Yahudi ceroboh Masjid al-Aqsa
BAITULMAQDIS - PALESTIN. Ratusan pendatang Yahudi yang diiringi polis Israel bertindak menceroboh kawasan perkarangan kompleks Masjid al-Aqsa, semalam.
Kehadiran mereka ke kawasan suci itu sempena perayaan Passover yang memasuki hari keempat.
Pihak Berkuasa Wakaf Islam Baitulmaqdis berkata, kira-kira 515 peneroka haram Yahudi menyerbu masuk ke kawasan tersebut menerusi pintu al-Magharibah.
Jurucakapnya, Firas Al-Dibs berkata, pendatang terbabit turut melakukan ritual keagamaan sebaik melangkah masuk ke kompleks berkenaan.
Tindakan tersebut mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk Palestin yang menganggap pihak berkuasa Israel mengamalkan sikap double standard.
Minggu lalu, rejim Zionis melarang azan dilaungkan dari dalam Masjid al-Aqsa dan menyerang serta mengusir penduduk Palestin yang berkumpul di luar Bab al-Asbat, salah satu pintu pagar utama masjid berkenaan di Kota Lama untuk menunaikan solat Asar.
Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa Israel mengenakan larangan ke atas dua lelaki Palestin daripada memasuki Masjid al-Aqsa.
Sumber tempatan memaklumkan, Thaer Abu Sbeih dikenakan larangan selama enam bulan, manakala Rohi Kalghasi berdepan larangan empat bulan.
Israel bagaimanapun tidak menjelaskan alasan larangan itu dikuatkuasakan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!