'Tak mampu beli ayam, makan apa yang ada'
KUANTAN - Di sebalik kegembiraan insan lain menyambut Ramadan, terselit coretan pahit yang terpaksa ditelan dua beranak yang menetap di Kampung SC di sini.
Norhayati Mustafa, 62, bersama anak bongsunya, Ahmad Khairul Ahmad, 35, yang berteduh di sebuah rumah usang hidup dalam serba kekurangan sejak mereka tiada kudrat untuk bekerja.
Dia yang buta mata sebelah kanan dan pekak sebelah telinga mengakui kini terpaksa menjaga anaknya, Ahmad Khairul yang juga orang kurang upaya (OKU).
"Saya pernah terjatuh di tempat kerja pada tahun 2014 sehingga perlu dibedah di bahagian kepala berikutan mengalami pendarahan dalam otak.
“Disebabkan itu juga saya mengalami strok sebelah badan namun bernasib baik apabila beransur pulih selepas membuat fisioterapi di rumah, namun mata kanan dan telinga kanan saya kini tidak berfungsi," katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Kampung SC di sini pada Khamis.
Ujar ibu tunggal itu, anaknya pula menghidap kencing manis sejak lahir lagi dan pada tahun 2020, kaki kanannya luka serta dijangkiti kuman sehingga terpaksa dipotong.
“Dalam tempoh lima bulan, kaki kanannya itu terpaksa dipotong sebanyak lima kali sehingga ke paras bawah lutut.
"Namun, kali ini jangkitan kuman tidak lagi merebak dan anak saya perlu menjaga makan dan mengelakkan daripada luka yang penyebab kepada jangkitan kuman," ceritanya.
Norhayati berkata, kehidupan bergantung sepenuhnya kepada pemberian zakat daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) sebanyak RM250 sebulan.
Jelasnya, pemberian zakat itu cukup untuk dirinya membayar sewa rumah sekitar RM200 sebulan dan bil utiliti lain.
"Pendapatan lain tiada, jadi kehidupan hari-hari bergantung atas ihsan dan sumbangan orang ramai," katanya yang memaklumkan anaknya baru sahaja membuat permohonan bantuan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Dia memberitahu setiap tahun Ramadan tiada juadah istimewa dihidangkan untuk berbuka dan bersahur, sebaliknya makan apa sahaja yang ada.
"Kami makan ala kadar sahaja, lauk sardin dan telur dah cukup buat kami berdua. Jika lauk itu (sardin dan telur) lebih, boleh makan kami sampai ke sahur, kalau tidak makan nestum pun sudah cukup untuk berpuasa.
"Hendak beli ikan atau ayam mahal, lain la kalau duit lebih boleh la beli. Sebab saya tidak mampu apa sahaja sumbangan orang ramai kepada saya itulah rezeki untuk kami makan," ujar Norhayati.
Ditanya mengenai persiapan raya, Norhayati berkata, tiada persiapan raya sama ada baju baharu dan kuih raya sejak beberapa tahun lalu.
"Persiapan raya tiada, dengan keadaan rumah macam ini (rumah usang) dan kami pula tidak sihat, jadi tiada hati (semangat) hendak beraya.
"Jadi, seperti tahun sebelum ini kami hanya memakai baju raya yang disedekahkan kepada mereka," katanya mengakhiri perbualan.
Orang yang ingin membantu boleh menghubungi Norhayati di talian 011-25714064 atau menyumbang ke akaun Maybank miliknya (156012347585).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!