UiTM sepakat adakan dialog selepas Ramadan - Syed Saddiq

Syed Saddiq (kanan) semasa sidang media.
Syed Saddiq (kanan) semasa sidang media.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akur akan arahan yang dikeluarkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam untuk tidak mengadakan Program Jelajah Mansuh Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dan Dialog Intern Bukan Buruh Percuma pada Khamis.

Menurut beliau, hasil perbincangan bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Shah Alam, satu sesi dialog akan diadakan selepas Ramadan.

“Saya rasa apa yang dikongsikan oleh pihak MPP, jikalau telah dibawa oleh pihak pengurusan, perkara ini tidak berlaku.

“Mereka sangat matang. Mereka katakan kita boleh adakan dialog, tetapi mungkin tempat berbeza. Mungkin perlu dibawa lagi seorang panel. Itu saya tiada masalah,” katanya dalam sesi sidang media di sini pada Khamis.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan bahawa Program Jelajah Mansuh AUKU dan Dialog Intern Bukan Buruh Percuma yang akan diadakan Dataran Cendekiawan, UiTM Shah Alam pada 30 Mac 2023 jam 10 malam tidak mendapat kelulusan universiti.

Dekan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Dr Nor Hafizah Mohamed Harith berkata, semua pelajar diminta agar tidak terlibat dengan program tersebut.

Menurut Syed Saddiq, perkara yang membuatkan beliau kesal adalah alasan yang dinyatakan oleh pihak universiti iaitu untuk menjaga keharmonian.

Jelasnya, perkara tersebut adalah tidak masuk akal memandangkan program dilakukan secara aman seperti yang diadakan di universiti awam lain.

“Bukan sahaja bila di kerajaan, malahan semasa saya pembangkang pun tiada isu keharmonian. Takkan lah saya nak menyebabkan masalah di UiTM yang dekat di hati saya sebab saya juga anak Mara.

“Namun, MPP telah beri komitmen, selepas Ramadan akan ada tarikh, kita ikut dan hormati,” ujarnya lagi.

Menjawab persoalan berkenaan bendera dan kain merah yang dibawa dan diikat di lengan, Syed Saddiq menjelaskan bahawa ia adalah satu protes terhadap larangan itu.

Menurutnya, bagaimanapun ia adalah protes secara aman agar satu interaksi dengan pelajar melalui dialog dapat dilakukan.

“Isunya adalah, pelajar sekarang dibenarkan mengundi, tetapi mereka tidak dapat terlibat dalam sesi dialog yang aman. Ini tidak masuk akal,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa sesi dialog tersebut akan dilakukan ke institusi pengajian tinggi yang lain dengan lebih kerap.

Amir Abd Hadi
Amir Abd Hadi

Sementara itu, Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amir Hariri Abd Hadi menggesa supaya pelajar yang terlibat tidak akan dikenakan sebarang tindakan tatatertib.

“Sekiranya ada tindakan terhadap pelajar jni, mungkin kita akan buat rundingan yang lebih besar. Minta jangan ada pelajar yang dikekan sebarang tindakan,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!