Jual makanan berkualiti, bukan basi
ORANG ramai sekali lagi berkongsikan pengalaman mereka membeli makanan di salah sebuah bazar Ramadan yang didakwa basi, hangit malah harga dijual mencekik darah dan tidak sepadan dengan kualiti makanan yang dijual.
Kejadian terbaharu menimpa tiga sekeluarga apabila juadah berbuka puasa yang dibelinya di sebuah bazar Ramadan di daerah Kuala Selangor didakwa Selangor basi dan berlendir.
Situasi malang itu dialami sendiri, Rosnah (bukan nama sebenar), 49, dan suaminya, 47, serta anak perempuan mereka berusia 30 tahun yang pertama kali membeli di bazar Ramadan.
Menceritakan perkara tersebut kepada Sinar Harian, Rosnah berkata, sejurus berbuka puasa, mereka sekeluarga terkejut apabila juadah itu bertukar rasa masam dan berlendir malah nasi kerabu itu dibeli pada harga RM8 sebungkus.
Sementara itu, sebelum ini pengguna media sosial turut memuat naik pengalaman mereka membeli pelbagai juadah yang basi dan tidak berkualiti antaranya nasi ayam berbau busuk, roti john dan martabak hangit serta karipap berinti angin.
Kejadian yang berulang kali sudah tentu menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pembeli kerana perlu berhati-hati dan berwaspada dengan kualiti kebersihan makanan dijual.
Perkara paling membimbangkan adalah makanan basi itu akan menimbulkan masalah lebih besar sekiranya ada yang mengalami keracunan makanan disebabkan kecuaian dan kurangnya kesedaran dalam menjaga kebersihan makanan.
Baru-baru ini Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor mengingatkan bahawa hukum seseorang peniaga menjual sesuatu makanan yang tidak berkualiti termasuk hangit serta basi adalah haram.
Wan Salim berkata, peniaga yang menjual makanan sedemikian bukan sahaja terpalit dalam penipuan transaksi jual beli malah ia termasuk dalam pengertian memakan harta orang secara salah.
Sudah tentu perkara ini memberi pengajaran dan kesedaran kepada peniaga supaya selepas ini lebih menjaga aspek kebersihan dan kualiti makanan dengan tidak memperdaya pelanggan menerusi jualan makanan yang kurang bermutu dan tidak bersih.
Tindakan itu bukan sahaja menganaiya pelanggan malah menghampakan mereka terutama yang mempunyai tanggungan ramai.
Mereka terpaksa mengeluarkan berbelanja banyak namun perlu berhadapan pengalaman makanan yang dijual tidak setara dengan kualiti dan dijual begitu mahal.
Justeru, adalah menjadi harapan besar pada pengguna supaya semua peniaga bersikap jujur dengan memastikan makanan dijual itu berkualiti dan bersih.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!