Jangan cemari bulan Ramadan dengan pakaian mencolok mata
SHAH ALAM - Agama Islam amat menekankan kewajipan menutup aurat dengan sempurna sama ada bagi lelaki mahupun wanita.
Bagaimanapun menurut Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, masih terdapat segelintir wanita Islam yang tidak mempedulikan larangan dan mendedahkan aurat di khalayak umum meskipun dalam bulan Ramadan.
Katanya, contohnya jelas berlaku di bazar-bazar Ramadan apabila terdapat pengunjung wanita beragama Islam yang dilihat tidak segan mengenakan pakaian mencolok mata.
Tegasnya, tindakan itu juga boleh dianggap sebagai perbuatan meringan-ringankan hukum agama, moral dan adat resam.
“Kini semakin ramai manusia yang mula meremehkan batas-batas hukum agama Islam, prinsip moral dan adat resam yang baik dalam perilaku seharian, termasuklah dalam pergaulan antara lelaki dan wanita.
“Perintah agar seluruh umat Islam menutup aurat dinyatakan dengan jelas dalam al-Quran seperti Surah al-Nur: 30-31 dan Surah al-Ahzab: 59.
“Kewajipan menutup aurat wajib dipatuhi oleh setiap umat Islam yang berakal dan sampai umur baligh,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Tambah Wan Salim, keadaan begini boleh dianggap sebagai tidak menghormati bulan yang suci ini.
Jelasnya, berpakaian mencolok mata sudah tentu akan mendatangkan dosa kerana melanggar hukum menutup aurat yang ditetapkan dalam syariat.
“Sedangkan di bulan yang mulia inilah sepatutnya umat Islam mengambil peluang untuk mencari pahala semaksimum mungkin dengan melakukan ketaatan kepada perintah ALLAH SWT.
“Oleh itu, saya mengajak umat Islam khususnya kaum wanita supaya sama-sama kita hormati bulan Ramadan ini dengan melaksanakan ibadah dan amalan-amalan baik sepertimana yang disarankan dalam syariat.
“Janganlah kesucian Ramadan dicemari dengan perbuatan yang tidak sepatutnya seperti mendedahkan aurat, berhibur secara berlebih-lebihan sehingga melekakan kita daripada menunaikan kewajipan sebagai penganut Islam,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!