'Rasa macam hujung nyawa'
BEKAS Raja Pecut negara, Nazmizan Mohamad kembali mengimbas insiden yang tidak boleh dilupakan dalam hidupnya ketika menyertai satu kejohanan pada bulan Ramadan di Thailand kira-kira 16 tahun lalu.
Nazmizan berkata, dia seperti berada di hujung nyawa akibat dehidrasi selepas mengerah sepenuh tenaga dan kudrat dalam larian peringkat saringan acara 100 meter (m) yang berlangsung pada pukul 10 pagi.
Menurut Nazmizan, dia sempat menjamah buah kurma selain makan nasi dan minum air mineral ketika waktu bersahur sebelum turun untuk sesi memanaskan badan.
“Saya all-out dalam acara itu dan sejurus melepasi garisan penamat tekak berasa begitu kering. Saya cuba telan air liur pun tak lepas, berasa lemas seperti tak boleh bernafas.
“Rakan-rakan pelari yang lain nampak muka saya pucat. Saya nak minta air, tapi nak bercakap pun masa itu tak lepas (suara tak keluar) dah rasa macam hujung nyawa.
“Mujur alhamdulillah, selepas dapat air, barulah saya berasa agak lega dan boleh bernafas semula,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.
Nazmizan memberitahu, pada ketika itu dia tiada pilihan terpaksa mengorbankan puasa bagi mengelak mudarat yang lebih besar.
“Terasa sayang terpaksa berbuka puasa, tapi sebab darurat, saya tiada pilihan. Masa bersahur saya minum banyak air, tapi mungkin faktor cuaca,” ujar pensyarah Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) itu.
Nazmizan memberitahu, kebiasaannya ketika sahur dia makan nasi berlaukkan ikan masin, pekasam atau ikan kering selain mengambil kurma tiga biji dan air mineral.
“Pada sebelah pagi, saya akan mengikuti kelas di Universiti Putra Malaysia (UPM) sebelum mengikuti sesi latihan bermula jam 6 petang dengan melakukan sesi pemanas badan.
“Berbuka pada jam 7.15 malam (2003), saya tak makan nasi, tapi ambil tiga biji kurma dan minum air masak, solat Maghrib dan kemudian sambung latihan sehingga pukul 10 malam.
“Selepas itu badan dah penat. Di Dewan Makan UPM, ambil sup dan roti. Solat Tarawih dan kemudiannya tidur. Begitulah rutin sepanjang bulan Ramadan,” kata bekas atlet negara berusia 42 tahun itu.
Nazmizan menjelaskan, berpuasa bukan alasan buat atlet untuk mengetepikan sesi latihan atau tidak menyertai kejohanan, sebaliknya menerusi diet dan pemakanan yang betul ia membantu mereka untuk kekal cergas dan bertenaga.
“Dapatkan nasihat daripada pakar pemakanan untuk nutrisi dan diet yang berkesan untuk membantu kita menjalani rutin latihan dengan baik serta teratur,” jelasnya.
Ketika bergelar atlet, antara pencapaian cemerlang Nazmizan di balapan apabila dia menyumbang dua pingat emas pada Sukan SEA Hanoi 2003 bagi acara 100 meter (m) dan 200m.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!