Bayang politik pelawak Ukraine
BARANGKALI selain daripada tragedi pengeboman bersiri di Sri Lanka ketika ini, perkara yang mungkin turut sama menjadi perhatian dunia sekarang ialah bagaimana seorang pelawak tanpa pengalaman politik, Volodymyr Zelensky menang dalam pilihan raya Ukraine Ahad lalu.
Zelensky mengejutkan semua pihak apabila memperoleh 73 peratus undi menewaskan Presiden Petro Poroshenko yang hanya mendapat 24 peratus undi selepas kiraan selesai.
Zelensky terkenal dengan peranannya sebagai seorang guru sejarah biasa yang tiba-tiba menjadi ‘Presiden Ukraine’ dalam sebuah komedi televisyen bersiri popular negara itu, Servant of the people kini mencatat sejarah menjadi presiden di dunia sebenar.
Itu pun berlaku selepas sebulan siri komedi itu tamat siarannya. Ini seolah-olah mengulangi kisah serupa yang berlaku di Guatemala tahun 2015.
Di sana, seorang pelawak terkenal, James Ernesto “Jimmy” Morales turut mencatat sejarah apabila memenangi pilihan raya presiden negara itu menewaskan pencabarnya Sandra Torres, lantas diangkat rakyat menjadi Presiden Guatelama ke-50.
Anehnya, kisah Jimmy Morales mirip Zelensky kerana beliau juga pernah membintangi sebuah filem berjudul A President in a Sombrero sebagai seorang koboi bernama Neto yang secara tidak sengaja terpilih menjadi presiden.
Tidak menolak peranan takdir dalam perkara sebegini, mungkin ramai bersetuju bahawa, baik Zelensky dan Morales berjaya menggunakan komedi dan populariti mereka dengan baik sehinggakan mampu memenangi pilihan raya di negara masing-masing.
Ada beberapa perkara yang boleh dilihat menyumbang kepada kemenangan mereka?.
Pertama, Zelensky berjaya mengalahkan Poroshenko disebabkan rakyat kecewa dengan rasuah, ketidakadilan sosial dan peperangan dengan kumpulan pemisah di Timur Ukraine yang membelenggu negara itu.
Di Guatemala pula, Presiden Otto Molina dan timbalannya, Roxana Baldetti yang dikaitkan sebagai dalang utama skandal rasuah terbesar negara itu melibatkan suapan berangkai sebagai pertukaran untuk mengelak daripada membayar cukai import dalam skandal ‘La Linea’ (rangkaian), membantu kemenangan Morales.
Kedua, senario di Ukraine dan Guatelama itu turut memperlihatkan semacam ada kecenderungan massa yang seolah-olah muak dengan politik perdana yang didominasi elit dan terlalu berpolitik.
Mungkin kalau boleh meminjam apa yang juga berlaku di Amerika Syarikat dan Perancis dalam kes Donald Trump dan Emmanuel Macron, barangkali ada kebenarannya.
Walaupun ramai melihat ini sebagai fenomena ‘populisme’ yang dicirikan sebagai kekuasaan rakyat yang anti elit disebabkan korupsi, mengendahkan hal ini dalam konteks politik semasa adalah salah dan bahaya.
Walaupun di Malaysia kita masih belum melihat ada pelawak menjadi politikus apatah lagi pemimpin, tetapi situasinya semacam sama seperti yang berlaku di Ukraine sekarang ini.
Selepas 9 Mei 2018, rakyat Malaysia mula berani mempersoalkan kerelevanan orang politik dan parti politik dalam konteks Malaysia Baharu.
Hal ini kerana, setelah mereka melakukan sesuatu yang di luar jangka dengan memilih untuk menukar rejim pemerintahan Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH), apa yang disaksikan hanyalah pertukaran. Sebaliknya tiada apa perubahan ketara yang dirasai atau dilihat oleh mereka.
Sebab itu tidak keterlaluan, kalau mengambil kira keadaan semasa dan tidak mengejutkan kalau pada masa mendatang wujud individu seperti Zelensky dan Morales di Malaysia.
Penghakisan minat dan defisit kepercayaan rakyat terhadap politik serta kemunculan kelompok generasi yang non partisan, kritikal dan dinamik terhadap politik, telah menenggelamkan generasi sebelumnya yang lebih partisan, feudal dan pasif.
Kelompok ini yang sifatnya oportunis, atas pagar, nothing to lose (tidak rugi apa-apa) dan tidak terhutang budi dengan mana-mana pihak, bakal dihadapi oleh setiap parti politik ketika Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.
Dikhuatiri, kalau parti-parti politik hari ini masih tidak berbuat sesuatu, vakum yang wujud akibat daripada kekecewaan dan kemarahan kelompok ini akan memungkinkan apa yang terjadi di Ukraine berlaku di Malaysia.
* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara, Kampus Seremban
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!