Mahu KM baharu fokus pulih ekonomi, tamatkan drama politik
MELAKA - Sejak Rabu, Seri Negeri menjadi tumpuan media malah rakyat negeri ini apabila Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan Datuk Seri Sulaiman Md Ali meletak jawatan sebagai Ketua Menteri ke-12.
Malah pagi Khamis juga tumpuan rakyat Melaka terarah kepada pengumuman individu yang bakal dilantik memegang jawatan Ketua Menteri ke-13 selepas Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Zaidi Johari memaklumkan majlis angkat sumpah jawatan akan berlangsung hari ini.
Tinjauan di sekitar Ayer Keroh di sini mendapati rakyat Melaka sudah 'lali' dengan gelojak politik negeri ini.
Bagaimanapun bagi Aisha Rahman Haj, 36, pemimpin yang dipilih atas nama 'keharmonian politik' itu perlulah cakna dengan masalah rakyat dan paling utama mampu bekerja keras mengembalikan kestabilan ekonomi negeri.
"Khabar angin mengenai pertukaran Ketua Menteri ini sudah lama sangat kami dengar dan apabila sudah diumumkan secara rasmi (pertukaran ini), kami lega sebab akhirnya drama politik ini berakhir.
"Jadi, kami harap ketua menteri baharu itu nanti beri fokus untuk kembalikan kegemilangan Melaka ini terutama apabila sektor pelancongan yang menjadi tunjang ekonomi negeri semakin merosot," katanya yang terlibat dalam bidang perhotelan.
Sementara Bahrin Sirun, 48, berkata, karakter utama yang diharapkan pada Ketua Menteri baharu nanti adalah 'boleh buat kerja' yang mencapai piawaian rakyat dan mengembalikan keyakinan masyarakat pada kepimpinan peringkat negeri yang sebelum ini sudah bertukar beberapa kali.
"Kena berjiwa rakyat yang sebenar-benarnya. Bukan atas kepentingan politik atau peribadi semata-mata kerana rakyat kini semakin bijak menilai pemimpin mereka," katanya.
Turut berkongsi pendapat adalah Alias Abu Bakar, 58, yang menyatakan mahu pemimpin baharu ini dapat membawa sesuatu yang lebih baik malah memperbaiki kelemahan sedia ada.
"Apa yang jadi sekarang (pertukaran pemimpin), yang menjadi mangsa adalah rakyat. Jadi cukuplah semua ini dan kami mahu pemimpin beri kemudahan kepada rakyat, stabilkan politik dan ekonomi negeri serta peka dengan keprihatinan rakyat," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!