'Beri inspirasi'

Sebahagian anggota bomba yang menyertai Iftar Ala Madinah @Karangkraf.
Sebahagian anggota bomba yang menyertai Iftar Ala Madinah @Karangkraf.
A
A
A

SHAH ALAM - Iftar Ala Madinah @Karangkraf memberi inspirasi kepada semua pihak termasuk agensi kerajaan untuk melaksanakan program yang menyantuni masyarakat.

Penjawat awam, Norshazila Ahmad, 40, berkata, inisiatif program Kumpulan Karangkraf itu amat baik selain dapat mengeratkan silaturahim dalam masyarakat, ia juga memberi peluang orang ramai merasai budaya berbuka puasa seperti di Madinah dan Makkah.

Norshazila
Norshazila

“Pihak kami daripada Jabatan Penerangan Malaysia Selangor khas datang hari ini (Rabu) bukan sahaja ingin merasai suasana berbuka di sini, sebaliknya juga untuk membuat rakaman situasi yang jarang disaksikan.

“Program ini akan dijadikan contoh atau inspirasi kepada syarikat lain termasuk pihak kerajaan sendiri untuk buat program berbuka seperti di Madinah dan Mekah. Konsep ini juga menghidupkan sunnah Rasulullah SAW.


Harith (tengah) memberi sumbangan makanan daripada Bank Rakyat.
Harith (tengah) memberi sumbangan makanan daripada Bank Rakyat.

“Kita kagum melihat segala persiapan, aturan dan usaha daripada pihak Karangkraf dalam memastikan semuanya teratur dan kemas selain makanan yang dihidangkan sedap dan lazat,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, Kumpulan Karangkraf merupakan satu-satunya syarikat swasta yang menyantuni masyarakat melalui program iftar seperti ini.

Sebahagian orang ramai yang menyertai Iftar Ala Madinah @Karangkraf.
Sebahagian orang ramai yang menyertai Iftar Ala Madinah @Karangkraf.

“Kami amat berbesar hati untuk datang melihat sendiri, ia sangat mengimbau kenangan seperti makan beramai-ramai, duduk sebaris panjang dan bersila di atas hamparan tikar sambil menikmati juadah berbuka puasa yang disediakan adalah satu pengalaman yang menakjubkan.

“Selain itu, walaupun tidak mengenali tetapi program ini secara tak langsung mengeratkan silaturahim sesama Islam,” ujarnya.

Pelawak terkenal tanah air, Harith Iskander, 57, pula menyifatkan program berkenaan bukan hanya usaha yang baik malah menyentuh jiwa kerana dapat membantu semua golongan khususnya mereka yang memerlukan dan istimewa.

Katanya, beliau juga terkejut melihat ramai yang datang dan tidak menyangka program iftar itu mendapat sambutan.

“Sememangnya program seperti ini bagus kerana niat yang baik dan saya sendiri terkejut juga ramai orang yang datang, kalau tak salah, ada anak-anak yatim dan juga kanak-kanak autisme. Jadi memang ia bukan sahaja satu inisiatif yang amat baik tetapi menyentuh jiwa,” ujarnya.

Khairin Fatiha
Khairin Fatiha

Sementara itu, pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Khairin Fatiha Efendi, 22, melahirkan rasa teruja dan gembira kerana pertama kali dapat menyertai program Iftar Ala Madinah.

“Ini kali pertama datang bersama kawan-kawan dan tahu tentang program ini melalui Instagram rakan juga. Makanan percuma dan dapat pengalaman makan ramai-ramai selain merasai budaya berbuka ala-ala Madinah.

“Semua makanan yang dihidangkan sangat enak dan ia juga memberi peluang untuk kami sebagai pelajar-pelajar universiti untuk belajar berjimat,” ujarnya.


Sebahagian orang ramai yang menyertai Iftar Ala Madinah @Karangkraf.
Sebahagian orang ramai yang menyertai Iftar Ala Madinah @Karangkraf.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!