Dadar telur ikan loma, penambah selera berbuka
IPOH - Pembukaan bazar sepanjang tempoh Ramadan ini menampilkan pelbagai hidangan tradisional sebagai makanan berbuka puasa.
Satu daripadanya yang masih menjadi pilihan pengunjung bazar terutama di Perak adalah dadar telur ikan loma.
Dadar telur ikan loma menjadi hidangan tradisi orang Perak sejak zaman dahulu lagi kerana spesis ikan loma iaitu sejenis ikan sungai banyak diperoleh di Sungai Perak.
Kebiasaannya dadar telur ikan loma menjadi bekalan makanan dan sangat digemari nelayan dan petani kerana boleh disimpan lama sehingga berminggu dan tidak perlu memasaknya setiap hari.
Yang Zaharah Ahmad Mazlan, 46, yang menjual dadar telur ikan loma di bazar Ramadan Medan Gopeng di sini sejak 22 tahun lalu berkata, hidangan itu cukup terkenal dalam kalangan penduduk Lenggong dan Gerik.
Menurutnya, bukan sahaja mudah disediakan, hidangan itu juga mampu membuka selera sesiapa sahaja walau hanya dimakan dengan nasi panas.
"Bagi mereka yang pertama kali melihatnya, pasti menyangka telur dadar biasa, tetapi sebenarnya tidak.
"Hidangan ini kita gunakan 100 peratus telur ikan loma, hanya dicampur sedikit dengan putih telur sebagai pengikat supaya telur digoreng tidak pecah.
"Dicampur juga dengan cili kisar, bawang, dan daun bawang yang diricik halus untuk menaikkan rasa," katanya yang mempelajari resipi berkenaan daripada neneknya.
Anak jati Lenggong itu berkata, telur ikan loma berbiji halus berwarna hijau sebelum dimasak dan akan bertukar kekuningan apabila siap digoreng.
"Rasa sedap datang daripada telur ikan itu sendiri apabila dikunyah, rasa biji-biji kecil yang rangup dan garing. Ramai yang mendapatkan dadar tekur ikan loma ini untuk dimakan begitu sahaja," katanya.
Yang Zaharah berkata, berbanding dahulu, bekalan telur ikan loma pada masa ini sedikit sukar diperolehi disebabkan populasi ikannya yang semakin mengurang.
Bagi keperluan jualan di bazar Ramadan, dia hanya dapat menyediakan tujuh kilogram telur ikan loma setiap hari yang mampu menghasilkan 70 keping hidangan.
"Itu pun tidak cukup, kebanyakan pelanggan akan membeli lebih daripada satu. Ada juga yang datang dari luar Perak membeli dalam kuantiti yang banyak untuk disimpan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!