Lima tahun berbuka di kaki lima
KUALA LUMPUR - Ketibaan Ramadan tahun ini tidak banyak bezanya berbanding bulan puasa tahun sudah bagi golongan gelandangan yang masih berada di sekitar ibu negara.
Golongan yang tiada tempat tinggal dan pekerjaan ini juga tidak pernah membuat persiapan untuk menyambut kedatangan Aidilfitri sepanjang mereka menjadi gelandangan.
Tinjauan Sinar Harian bagaimanapun mendapati, golongan itu tetap menunaikan ibadat puasa dan berbuka dengan juadah ala kadar di lorong tempat tinggal mereka.
Seorang gelandangan, Sukimin Sarijo, 64, mengakui tidak janggal berbuka puasa di laluan pejalan kaki di Jalan Tuanku Abdul Rahman yang dianggap tempatnya berteduh dari hujan dan panas.
"Saya mula menjadi gelandangan lebih lima tahun lalu dan sebelum itu, ada masanya saya tidak bergelandangan kerana ada kerja tetapi sekarang sudah tidak lagi mampu bekerja kerana sakit.
"Saya sudah berpisah dengan isteri dan saya tiada anak serta ahli keluarga yang lain. Jadi saya terpaksa hidup sebagai gelandangan di negara ini," kata warga emas kelahiran Riau, Indonesia itu.
Nasib Sukimin masih baik apabila ada banyak pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) yang sentiasa bermurah hati tampil mengagihkan makanan kepadanya setiap hari pada Ramadan.
Namun, agak menyedihkan apabila melihat keadaan gelandangan uzur yang berbaring beralaskan kotak dan kain lusuh di laluan terpencil dari tempat Sukimin berada menuju ke Jalan Chow Kit.
Ada di kalangan mereka mendakwa sudah 'berpuasa' sebelum ketibaan Ramadan lagi malah, ada yang menganggap Aidilfitri tidak bermakna bagi diri mereka yang bergelar gelandangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!