Sanggup gali, cabut tiang untuk curi sawit

Tiang simen yang digali oleh penjenayah.
Tiang simen yang digali oleh penjenayah.
A
A
A

JEMPOL - Penjenayah terdesak, sanggup menggali tiang pintu masuk kebun dan mencabutnya sebelum mencuri kelapa sawit milik peneroka di ladang Felda Serting Hilir 5 di sini.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, ia menyebabkan peneroka tersebut mengalami kerugian dianggarkan RM500.

Katanya, kejadian itu disedari oleh seorang pengurus ladang pada jam 9 pagi Khamis ketika berada di ladang sawit lot 1 Felda berkenaan.

"Pengadu mendapati tiang pintu masuk digali sebelum pemeriksaan mendapati terdapat kesan potong pada 45 batang pokok kelapa sawit.

"Lokasi kejadian adalah di tepi jalan besar menuju ke Kilang Sawit Felda Serting Hilir dan jarak tiang yang dicabut dari jalan besar lebih kurang lima meter," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ujarnya, tiang itu ditanam di dalam tanah menggunakan simen dan suspek dipercayai masuk ke dalam ladang selepas mencabut tiang pintu masuk itu.

"Sebanyak 45 pokok sawit sudah dituai berdasarkan kesan potongan baharu dan tuaian kali terakhir sawit pada 16 Mac lalu.

"Suspek belum dikenal pasti selain polis masih menjalankan siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!