MR D.I.Y sumbang 487 komputer kepada MACO
MR D.I.Y. (M) Berhad (MR D.I.Y) memberikan sumbangan sebanyak 487 set komputer bernilai lebih RM480,000 ke beberapa sekolah di Semenanjung Malaysia yang merupakan sebahagian daripada inisiatif Program Pemerkasaan Komputer oleh Medical Awareness Camp Outreach (MACO).
MACO adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terdiri daripada doktor-doktor pakar dan para sukarelawan bukan perubatan yang menyediakan perkhidmatan perubatan percuma, hidangan makanan, bantuan makanan, dan komputer yang dibaik pulih kepada golongan yang kurang berkemampuan.
MR D.I.Y dalam satu kenyataan berkata, komputer-komputer tersebut diperoleh daripada ibu pejabat MR D.I.Y. di Seri Kembangan dan cawangan-cawangan MR D.I.Y. di seluruh negara, kemudian dibaik pulih oleh Jabatan IT peruncit.
“Sebanyak 10 buah sekolah telah menerima set komputer dibaik pulih yang lengkap termasuk Unit Pemprosesan Pusat (CPU), monitor, papan kekunci, dan aksesori.
"Literasi komputer adalah kemahiran yang penting dalam dunia pada hari ini. Para pelajar perlu mempunyai kemahiran komputer untuk melakukan apa sahaja, dari kajian hingga menyediakan kertas kajian dan pembentangan serta untuk membuat permohonan pengajian di universiti dan mendapatkan pekerjaan,” jelas kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, inisiatif itu menjadikan komputer lebih mudah diakses oleh golongan kurang berkemampuan yang mungkin tidak mempunyai akses kepada perkakasan untuk mengembangkan dan mempraktikkan pengetahuan literasi digital mereka.
Ini adalah kali kedua MR D.I.Y bekerjasama dengan MACO dalam inisiatif seperti ini.
Pada bulan April 2022, MACO telah membaik pulih lebih 2,000 set komputer untuk melengkapkan makmal komputer di sekolah-sekolah di bawah Program Pemerkasaan Komputer dengan sebahagian daripadanya diperoleh daripada MR D.I.Y. dengan sokongan jabatan IT peruncit tersebut.
Program Pemerkasaan Komputer MACO adalah salah satu daripada banyak lagi inisiatif yang disokong oleh MR D.I.Y. untuk membantu komuniti sekolah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!