Empat maut selepas ziarah ahli keluarga meninggal dunia
PONTIAN – Tidak sampai 24 jam kehilangan adiknya yang meninggal dunia kerana terjatuh dalam bilik air di rumah ibu mertuanya di Kampung Parit Bengkok di sini Rabu lalu, seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Sopiah Roz, 57 tidak menyangka akan kehilangan pula empat lagi ahli keluarga terdekatnya dalam nahas di Kilometer (KM) 5.7 Jalan Parit Semerah-Parit Kudus di hadapan SK Parit Kudus, di sini, pada petang Khamis, lalu.
Nahas yang dilaporkan berlaku sekitar jam 5 petang itu meragut nyawa suaminya, Jamaludin Abd.Wahab, 58; anaknya, Muhammad Shah Rizal Jamaludin (22) dan adik bongsunya, Muhamad Nor Azlan Roz (28) yang maut di lokasi kemalangan manakala adik iparnya, Mohd Faizal Saari, 35, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA).
“Selepas dapat berita mengenai adik bongsu, Baharuddin yang meninggal dunia kerana jatuh di bilik air, saya, suami dan anak (Muhammad Shah Rizal) bergerak ke Johor (Pontian) untuk ziarah.
“Setelah urusan pengebumian (selesai), petang itu, suami, anak, adik dan adik ipar saya keluar bersama-sama. Mereka ke mana sama ada mencari makanan untuk berbuka puasa atau ke tempat lain saya tidak tahu kerana panggilan telefon tidak berjawab.
“Akhirnya, saya dapat tahu mereka kemalangan apabila telefon dijawab oleh anggota polis...memang terkejut sangat saya masa tu,” katanya.
Untuk rekod kemalangan yang dilaporkan berlaku sekitar 5 petang itu melibatkan dua kenderaan, Proton Saga dari arah Parit Semerah ke Parit Kudus dan kereta Proton Perdana dari arah bertentangan.
Kemalangan dipercayai berpunca apabila kereta Proton Saga yang dinaiki Jamaludin, Muhamad Shah Rizal, Muhamad Nor Azlan dan Muhamad Faizal Saari hilang kawalan sebelum bertembung dengan kereta Proton Perdana di laluan bertentangan hingga menyebabkannya terjunam ke dalam parit berhampiran.
Akibatnya, Jamaludin, Muhammad Shah Rizal dan Muhammad Nor Azlan maut di tempat kejadian manakala Muhamad Faizal Saari meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA).
Pemandu Proton Perdana, Danny Tauh, 20, pula kini dirawat di Hospital Pontian kerana mengalami kecederaan.
Tambah Sopiah, beberapa hari sebelum nahas, suaminya tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap atau berkelakuan pelik.
Katanya, biarpun sedih dengan segala yang berlaku, namun baginya ia merupakan ketentuan ALLAH SWT dan dia reda dengan apa yang berlaku.
“Semua yang berlaku ni ketentuan ALLAH SWT. Dia yang berkuasa atas segala-galanya. Saya reda dengan apa yang telah berlaku,” katanya.
Difahamkan, jenazah Muhamad Nor Azlan Roz dan Mohd Faizal Saari akan dikebumikan di Gombak, Kuala Lumpur manakala jenazah Jamaludin dan Muhamad Shah Rizal akan dikebumikan di Tapah, Perak pada malam ini (Jumaat).
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, setakat ini pihaknya menunggu laporan bedah siasat (post mortem) mengenai kemalangan berkenaan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan polis juga akan memanggil pemandu kereta Proton Perdana untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!