'Mereka nak pakai baju raya hitam sedondon'
SHAH ALAM - Empat beradik yang maut dalam kebakaran di Kampung Sabak Awor, Muar di sini berhasrat mahu memakai baju raya hitam sedondon pada Aidilfitri tahun ini.
Memetik laporan The Star, ibu mereka Nabila Sedu, 31, mendakwa terkilan kerana tidak sempat membeli baju raya untuk anak-anaknya.
“Mereka mahu baju raya hitam dipakai pada hari raya pertama.
“Saya berjanji untuk membelikan mereka pakaian baharu, tetapi kini tidak dapat menunaikan janji,” katanya dalam nada sebak.
Beliau yang berkongsi pengalaman terakhir bersama anak-anaknya itu tidak dapat menahan kesedihannya lalu terus mencium salah satu pakaian prasekolah anaknya.
Mangsa kebakaran, Puteri Aisyah Tenko To,8; Mohd Hakim,6; Mustakim,4 dan Fatihah Aisyah berusia tiga tahun, maut dalam kebakaran yang berlaku di rumah sewa mereka di Lorong Haji Muhammad, Jalan Ismail, Kampung Sabak Awor, Muar, Johor, pada Rabu malam.
Ketika kejadian Nabila keluar membeli lampin manakala bapa kanak-kanak itu keluar bekerja.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, polis sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian kebakaran itu dari semua aspek termasuk kecuaian.
Beliau berkata, pihaknya masih menunggu keputusan bedah siasat adik-beradik itu serta laporan forensik daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat.
"Sebaik sahaja mendapat semua laporan, kami akan memajukannya kepada pejabat timbalan pendakwaan awam untuk menyemak sama ada terdapat unsur kecuaian, jenayah, atau tidak disengajakan," jelasnya.
Tambahnya, siasatan awal menunjukkan punca kebakaran mungkin disebabkan litar pintas dari dapur.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Muar Shahrizal Mokhtar pula berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.49 malam dan mengerahkan 20 anggota ke lokasi.
“Kebakaran itu memusnahkan 80 peratus rumah.
“Selepas memadamkan api, pasukan bomba mendapati empat kanak-kanak, dua perempuan dan dua lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam bilik air,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!