Geng plastik hitam guna taktik pandu lalu ambil makanan

Mohd Azman
Mohd Azman
A
A
A

KOTA BHARU - Golongan yang tidak berpuasa kini menggunakan taktik pandu lalu untuk mengambil makanan di kedai makan yang bersubahat dengan mereka.

Setiausaha Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam (MDK-PI), Mohd Azman Ghazali berkata, mereka menggunakan aplikasi WhatsApp bagi memudahkan komunikasi dengan memesan makanan pada waktu malam dan mengambilnya ketika pagi.

"Mereka mengaku membuat pesanan awal dan mengambil makanan siap masak dengan lauk tertentu yang dipilih pada waktu pagi," katanya.

Mohd Azman memberitahu, tindakan itu mula menular ketika pandemik Covid-19 dan kini semakin aktif bagi mengelakkan ditangkap pihak berkuasa.

"Strategi itu mungkin tidak menjadikan ramai pelanggan tertumpu di kedai itu tetapi masih ada yang menjadi mata dan telinga pihak berkuasa," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Ketereh.

Tambah beliau, individu tidak berpuasa mungkin berfikir strategi itu dapat mengaburi mata pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK).

"Bagaimanapun kita tetap melakukan pemantauan berterusan bagi mengelakkan perbuatan itu," katanya.

Mohd Azman turut mendedahkan peniaga masyarakat Siam di sekitar kawasan itu kini mengaku sudah 'mengangkat bendera putih' apabila enggan lagi menjual makanan kepada golongan yang tidak berpuasa.

"Mereka ada memberitahu pegawai penguat kuasa bahawa jualan tidak berbaloi dengan kompaun yang dikenakan.

"Kita percaya operasi yang dilaksanakan mempunyai kesan positif terhadap pematuhan dan undang-undang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!