Tidak adil Najib dipenjara kerana kesilapan peguam - Hakim

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah (kanan), yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Mahkamah Persekutuan. - Foto Bernama
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah (kanan), yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Mahkamah Persekutuan. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] “Tidak adil bagi Datuk Seri Najib Tun Razak, kerana terpaksa ‘membayar’ harga yang tinggi dengan meringkuk dalam penjara semata-mata kesilapan peguamnya,” kata Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abdul Rahman Sebli.

Abdul Rahman merupakan satu-satunya hakim yang menentang keputusan majoriti panel hakim, yang menolak rayuan bekas Ahli Parlimen Pekan itu selaku pemohon, untuk mendapatkan kebenaran menyemak keputusan mahkamah sama sebelum ini yang mengekalkan sabitan, hukuman dan denda berhubung kes SRC International Sdn Bhd.

Berbekalkan majoriti 4-1, empat panel hakim menyokong untuk menolak rayuan Najib kerana tidak bermerit.

Mereka ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan termasuk Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais.

Ketika membaca keputusan penghakimannya, Abdul Rahman berkata, peluang yang ada ialah melihat peguamnya berjuang untuk kepentingan dirinya, namun ia tidak berlaku ketika pendengaran rayuannya dibuat di Mahkamah Persekutuan tahun lalu.

Menurutnya, peguam Najib ketika itu, Datuk Hisyam Teh Poh Teik tidak mengemukakan rayuan selepas memaklumkan kepada panel hakim bahawa beliau tidak bersedia.

“Rayuannya langsung tidak didengari, pemohon berada dalam keadaan kurang bernasib baik, sekali gus menyebabkan satu pihak sahaja mengemukakan permohonan di hadapan panel terdahulu iaitu Timbalan Pendakwa Raya selaku responden.

“Saya menyebelahi permohonan pemohon, namun keputusan majoriti 4-1 panel hakim, menyebabkan perkara itu tidak memihak kepada bekas Perdana Menteri itu,” katanya yang turut mempengerusikan lima panel hakim dalam prosiding tersebut.

Hakim ini berkata, sabitan terhadap tertuduh harus dibatalkan kerana tiada representasi undang-undang.

Menurutnya, tiada apa-apa yang telah ditunjukkan untuk mewajarkan bahawa pemohon tidak sepatutnya diberikan penangguhan kerana dia tidak diwakili peguam semasa rayuannya.

“Oleh itu, permohonan pemohon untuk mendapatkan kebenaran semakan penangguhan hendaklah diluluskan,” katanya.

Sebelum ini, mahkamah memutuskan, Najib tidak dibenarkan untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung kes menyeleweng dana SRC.

Susulan itu, pemimpin UMNO ini kekal dihukum di Penjara Kajang dan pilihan terakhirnya untuk dibebaskan ialah menerusi pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong.

Dilaporkan, Najib sudah memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan pada 2 September 2022.

Sebelum ini, menerusi notis usul permohonannya untuk mendapatkan kebenaran semakan, Najib memohon keputusan Mahkamah Persekutuan pada 16 Ogos tahun lalu yang menolak rayuannya berhubung bukti baharu membabitkan Mohd Nazlan dan rayuan supaya hakim itu hilang kelayakan daripada mendengar kesnya, diketepikan.

Jika ia dibenarkan, beliau memohon perintah supaya beliau dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan atau perintah perbicaraan semula di Mahkamah Tinggi di hadapan hakim lain.

Beliau juga memohon untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuannya supaya Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menarik diri dan seterusnya memohon perintah supaya ia didengar semula di hadapan panel lain, tidak kurang daripada tujuh hakim.

Bekas Presiden UMNO ini turut memohon kebenaran untuk menyemak dan mengetepikan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan akhirnya.

Jika dibenarkan, Najib memohon dilepas dan dibebaskan atau secara alternatif rayuan akhir terbabit didengar semula panel lain.

Pada masa sama, beliau memohon mahkamah membenarkan penggantungan pelaksanaan sabitan dan hukuman sementara menunggu permohonan semakan itu didengar dan diputuskan.

Yang terakhir, beliau memohon untuk dibenarkan menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya untuk menangguhkan rayuan akhir.

Dalam afidavit, beliau percaya dan dinasihatkan oleh peguam caranya bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan boleh disemak mengikut Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

Dalam prosiding ini, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram berada di pihak pendakwaan manakala Najib selaku pemohon diwakili peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Pada 22 Julai 2020, Mahkamah Tinggi di sini mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC.

Najib dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap tiga kes pecah amanah dan masing-masing tiga kes pengubahan wang haram manakala penjara 12 tahun dan didenda RM210 juta, jika tidak dipenjara lima tahun bagi satu kes penyalahgunaan kedudukan.

Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas hakim memerintahkan hukuman itu berjalan serentak.

Sabitan dan hukuman terhadap Najib kemudian dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Najib yang kini berusia 70 tahun, sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang selepas gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan sabitan, hukuman dan denda pada 23 Ogos tahun lalu.

Najib masih berdepan tiga lagi kes mahkamah termasuk penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB yang kini di peringkat perbicaraan dengan pendakwaan telah memanggil seramai 44 saksi.

Dua lagi kes ialah pecah amanah jenayah berjumlah RM6.6 bilion berhubung pembayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International sebanyak RM27 juta, yang masing-masing masih di peringkat pengurusan kes.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!