Jangan pandang perjuangan rakyat sebelah mata - Hamzah

Hamzah Zainudin
Hamzah Zainudin
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu mendengar rintihan rakyat dan tidak hanya memandang perjuangan mereka untuk mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebelah mata, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata demikian susulan tular kisah seorang pemandu teksi, Norazlan Ismail, 49 yang nekad berjalan kaki sejauh 312 kilometer dari Tol Skudai ke Istana Negara bagi membawa misi pengeluaran caruman KWSP supaya kesusahannya disedari pihak kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hamzah berkata, beliau amat tersentuh dengan perkongsian Norazlan dan yakin pasti ramai lagi insan sepertinya yang amat memerlukan pengeluaran simpanan itu bagi meneruskan kelangsungan hidup.

“Bila baca kisah Norazlan, saya faham benar isi hatinya. Bapa kepada lima anak yang masih bersekolah ini benar-benar terdesak dan sedang dalam kesusahan.

“Bagi Norazlan, pengeluaran simpanan KWSP adalah kunci untuk dia keluar daripada belenggu hutang dan seterusnya memulakan kehidupan baharu bersama keluarga.

“Saya tahu ramai rakyat di luar sana yang terdesak dan amat memerlukan pengeluaran simpanan KWSP. Mereka juga dalam kesusahan dan kepayahan sepertimana Norazlan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Media tempatan sebelum ini melaporkan, Norazlan mengakui tindakan berjalan kaki ke Istana Negara itu umpama 'misi gila', namun dia menganggapnya sebagai usaha agar kerajaan memahami betapa terdesak individu sepertinya mahukan pengeluaran caruman tersebut.

Dia turut berharap agar pengeluaran wang itu mampu membantunya memulihkan semula keretakan rumah tangganya yang difahamkan berpunca daripada masalah kewangan.

Dalam pada itu, Hamzah yang juga Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, Perikatan Nasional (PN) tetap berpegang dengan agenda menggesa kerajaan agar mempertimbangkan pengeluaran KWSP bersasar untuk golongan memerlukan.

“Kami angkat denyut nadi dan suara hati rakyat yang mahukan pengeluaran simpanan KWSP ditunaikan kerajaan, tetapi sayangnya dibalas sinis Perdana Menteri ke-10,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!