Drawbridge sasar 140,000 pengunjung tahun ini
KUALA TERENGGANU – Jambatan Angkat Kuala Terengganu yang merupakan antara lokasi utama tumpuan pelancong apabila datang ke Terengganu menyasarkan kehadiran lebih 140,000 pengunjung pada tahun ini.
Pengurus Pemasaran TI Properties Sdn Bhd, Farhana Adila Mohamad Yunus berkata, jumlah sasaran tersebut meningkat lebih 40,000 berbanding 98,000 pengunjung yang telah direkodkan sepanjang tahun lalu.
Menurutnya, dengan pelbagai tawaran, pakej menarik dan renovasi dewan, peningkatan pengunjung ke menara Jambatan Angkat Kuala Terengganu atau lebih dikenali sebagai Drawbridge diyakini dapat dicapai.
“Kami di Drawbridge sebagai sebuah jambatan ikonik Terengganu sentiasa menawarkan pengalaman menarik kepada pelancong apabila berkunjung ke sini.
“Sebagai contoh, orang ramai boleh menikmati hidangan berbuka puasa di sini sambil menikmati pemandangan indah Laut China Selatan sepanjang bulan Ramadan,” katanya ketika ditemui di menara Drawbridge di sini pada Khamis.
Farhana Adila berkata, ini merupakan tahun ketiga pihaknya menawarkan pengalaman berbuka puasa di menara Drawbridge pada ketinggian 106 meter dari aras laut dengan pilihan 100 jenis menu bertemakan Singgah Selatan ke Timur.
Katanya, sambutan diterima setakat ini begitu menggalakkan dan antara hidangan popular adalah gulai kawah daging tetel, sup kambing rempah asli Muar, pengat pisang di muara, mi rebus johor, lontong dan menu tradisional Terengganu.
“Galeri menara selatan dan Elysium menara utara yang terdapat di Drawbridge mampu memuatkan sehingga 250 pengunjung dalam satu masa manakala lantai kaca pula dari lapan hingga sepuluh orang.
“Selain pelbagai tawaran menarik, TI Properties Sdn Bhd yang menguruskan Drawbridge turut melaksanakan pelbagai aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) termasuk agihan 1,000 bekas bubur lambuk bagi menyambut Ramadan dan majlis bersama anak yatim,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!