Ringgit dijangka terus pulih, cecah 4.35 pada suku kedua 2023
KALANGAN ahli ekonomi mengunjurkan prospek lebih baik bagi ringgit dalam suku kedua 2023 di tengah-tengah jangkaan ekonomi negara yang berdaya tahan.
Kenanga Investment Bank Bhd menerusi nota Pandangan Ekonomi pada Jumaat menyifatkan momentum pertumbuhan ekonomi yang berterusan akan turut menyokong keyakinan pelabur dan menarik aliran modal asing.
Sehubungan itu, bank pelaburan tersebut tidak melihat sebarang risiko daripada pilhan raya negeri yang bakal diadakan tidak lama lagi.
"Kelemahan dolar Amerika Syarikat (AS) akibat jangkaan pasaran terhadap kecenderungan Rizab Persekutuan AS (Fed) menaikkan kadar faedah, persekitaran politik Malaysia yang lebih stabil dan prospek ekonomi lebih berdaya tahan, berkemungkinan besar dapat membantu ringgit diniagakan lebih mengukuh di bawah paras 4.40 menjelang akhir suku kedua,” katanya.
Susulan itu, ia masih mengekalkan unjuran suku kedua dan akhir 2023 dengan ringgit masing-masing pada 4.35 dan 4.11 berbanding dolar AS.
Bank pelaburan itu bagaimanapun mengingatkan bahawa ketegangan kian ketara antara Amerika Syarikat (AS) dan China serta konflik Rusia-Ukraine yang berterusan, menjadi antara risiko yang boleh memberi tekanan kepada ringgit.
"Selain itu, kemelut perbankan di AS dan Eropah setakat ini tiada peningkatan bagi mengelak risiko secara ketara, sebagaimana dipaparkan menerusi Indeks Volataliti Opsyen Bursa Lembaga Chicago.
"Di sebalik kebimbangan mengenai potensi risiko, beberapa pelabur masih memilih untuk melabur dalam aset berisiko, khususnya di negara sedang pesat membangun. Ini mungkin disebabkan oleh pertumbuhan jangka panjang yang berpotensi dan mengatasi risiko jangka pendek," katanya.
Kenangan Investment Bank berkata, adalah penting untuk menyedari bahawa keadaan kekal dinamik dengan krisis perbankan serantau di AS dan negara maju itu juga berdepan satu lagi pusingan kemelut kewangan.
Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid memberitahu bahawa kenaikan kadar di peringkat domestik akan membantu pengukuhan ringgit dalam suku kedua.
Beliau juga optimis dengan jangkaan ringgit mencecah paras 4.35 berbanding dolar AS, dapat dicapai menjelang akhir suku tersebut.
Kali terakhir ringgit mencecah paras itu adalah pada Februari lepas dan seterusnya pada 4.52 yang juga paras paling lemah setakat tahun ini.
Menurutnya, pada masa ini, pihak Fed lebih berpendirian terkawal dari segi mengetatkan kitaran monetari.
Mohd Afzanizam juga menjangkakan Fed mungkin melaksanakan kenaikan sebanyak 25 mata asas lagi pada Mei yang menjadikan Kadar Dana Fed (FFR) kepada 5.25 peratus.
Berikutan itu, beliau menyifatkan data-data yang bakal diumumkan sebagai penting dalam membentuk pendirian Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) di masa depan.
"Kami percaya bahawa ekonomi AS akan mula menyederhana pada suku kedua susulan impak kenaikan kadar faedah sebelum ini berjumlah 475 mata asas sejak awal tahun lepas dan akan mula memberi kesan kepada ekonomi.
"Apabila kos pinjaman tinggi, perniagaan berkemungkinan lebih berhati-hati dalam membuat sebarang keputusan berkaitan perbelanjaan modal. Ini berikutan kekangan kadar faedah atau di peringkat dalaman yang menjadi mekanisme lazim bagi pelaksanaan pematuhan atau usaha wajar yang mungkin diperketat.
"Pada masa sama, isi rumah juga tidak berminat jika kadar faedah terlalu tinggi dan mengelak daripada membeli barangan berharga mahal. Dinamik sedemikian akan memberi kesan kepada sektor-sektor tertentu seperti hartanah, bank, prosfesional dan bahan binaan,” katanya - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!