Tiga lelaki ditahan disyaki terlibat rusuhan
JOHOR BAHRU - Polis menahan tiga lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian rusuhan di Jalan Dato Abdullah Tahir, di sini, Rabu lepas.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua yang berusia antara 23 hingga 26 tahun itu ditahan Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di lokasi kejadian pada jam 5.15 pagi selepas polis menerima maklumat daripada orang awam berkaitan kejadian itu.
Beliau berkata, berdasarkan laporan polis oleh mangsa pada 6.31 pagi hari sama, mangsa yang merupakan pengusaha restoran dan rakan sekerjanya mendakwa mereka dipukul sekumpulan lelaki menggunakan kayu besbol dan sebatang kayu.
"Mangsa yang berusia 44 tahun mengalami luka dan calar di beberapa bahagian badan manakala rakan sekerjanya berusia 29 tahun sakit di bahagian perut dan kepala,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut Kamarul Zaman, selain penahanan itu, pihaknya sedang giat mengesan tujuh lagi lelaki dipercayai turut terlibat dalam kejadian itu, yang berjaya melarikan diri semasa kejadian dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Gen2 dan Toyota Vios.
Beliau berkata ketiga-tiga lelaki yang ditahan kini direman hingga Ahad ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 148 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi IPD Johor Bahru Selatan di talian 07-2182 323 atau pegawai penyiasat Inspektor Jacky Jaulis di 014-6566 820,” katanya.
Sebelum itu, video berdurasi dua minit lima saat yang memaparkan kejadian sekumpulan lelaki merusuh dipercayai di Jalan Dato Abdullah Tahir, di sini, tular menerusi media sosial sejak beberapa hari lepas. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!