Sindiket kaut untung RM100,000 jual permit palsu tumpas
KOTA KINABALU - Menawarkan permit palsu kepada warga asing untuk memasuki negara ini dengan bayaran sekitar RM100 sehingga RM800 seorang dan boleh dibayar secara berperingkat.
Itu 'perkhidmatan' yang ditawarkan sindiket pemalsuan dokumen permit yang aktif beroperasi di sekitar Kota Kinabalu sejak April tahun lalu.
Bagaimanapun, sindiket yang telah mengaut keuntungan sekitar RM60,000 sehingga RM100,000 itu akhirnya berjaya ditumpaskan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam Operasi Bersepadu Serkap di lokasi berasingan pada Rabu lalu.
Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Sharifah Sitti Saleha Habib Yusof berkata, serbuan bermula kira-kira jam 10.35 malam itu berjaya menahan seramai enam individu berusia antara 24 hingga 59 tahun..
"Hasil risikan selama sebulan berjaya membuat serbuan yang pertama di sebuah rumah di Kampung Sembulan Lama dan seramai tiga lelaki serta dua wanita didapati masing-masing memiliki permit masuk yang disyaki palsu.
"Mereka kemudian ditahan dan beberapa barang turut dirampas termasuk 28 keping permit masuk disyaki palsu, surat arahan dan resit pembayaran permit masuk yang disyaki palsu, wang tunai sebanyak RM2,268, komputer riba dan telefon pintar.
"Selain itu turut dirampas borang permohonan IMM13 yang disyaki palsu, stampad, resit pembayaran pendaftaran MyKad disyaki palsu dan cabutan daftar kad pengenalan yang disyaki palsu," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Imigresen Sabah di sini pada Jumaat.
Sharifah Sitti Saleha berkata, susulan daripada serbuan pertama membawa kepada tangkapan seorang lagi wanita di kawasan Riverside Sembulan pada keesokan harinya.
"Suspek wanita berusia 59 tahun ditahan pada jam 1 petang dan turut ditemui sebanyak 18 keping resit pembayaran pendaftaran kad pengenalan MyKad yang disyaki palsu dan wang tunai sebanyak RM744.
"Tangkapan itu juga membawa kepada penggeledahan di sebuah rumah di sekitar Kuala Manggatal.
"Sebanyak lapan keping resit rasmi pembayaran Jabatan Imigresen Malaysia, lapan keping surat arahan pembayaran permit masuk yang disyaki palsu, 15 keping borang permohonan kad pengenalan lengkap dengan gambar dan cap jari serta dua keping borang permohonan kad pengenalan dirampas," katanya.
Sharifah Sitti Saleha berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 55D dan Seksyen 56 (1)(I) Akta Imigresen 1959/63.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!