Lahirkan kembar seekor buaya putih
KOTA TINGGI - Sebut sahaja Kampung Rantau Panjang sudah pasti menyangka kampung ini terletak di Kelantan, namun di daerah ini turut mempunyai kampung dengan nama sama.
Kampung yang diterokai sejak 200 tahun lalu dikatakan dibuka seorang lelaki, Ma'alah Anan Syah Kahar atau dikenali sebagai Tok Timbang Tahil dari Sumatera Barat.
Keturunan keempat Ma'alah, Ishak Shariat, 63, berkata, penghijrahan moyangnya bermula selepas tidak tahan dengan birokrasi yang berlaku ketika itu sehingga memaksa dia bersama keluarga dan beberapa pengikut merantau ke tanah Melayu.
Katanya, penghijrahan menaiki tongkang pada 1893 itu membawa moyangnya ke Kampung Rantau Panjang yang dahulunya sebuah kawasan hutan belantara.
"Kawasan pertama persinggahan beliau adalah di Sungai Tampoi yang merupakan anak sungai di kampung ini. Sungai itu dinamakan sedemikian kerana ketika itu terdapat banyak pokok buah tampoi, namun kini sudah tiada.
"Maka bermulalah penerokaan Ma'alah membuka kawasan kampung ini di mana nama kampung ini diambil sempena kisah beliau yang merantau jauh dan terlalu panjang sehingga tidak balik-balik ke negara asalnya.
"Selain itu terdapat juga mengatakan nama kampung ini diambil sempena sungai kampung ini yang tegak dan rantaunya panjang tanpa ada selok-belok. Maka dari situ dapat nama Kampung Rantau Panjang," katanya kepada Sinar Harian.
Dua kali terpaksa tinggalkan kampung
Tambahnya, sebaik sahaja penempatan dibuka, seorang demi seorang saudara mara Ma'alah dari seberang berhijrah ke kampung itu dan ramai kembali ke Indonesia sementara moyangnya terus menetap di situ.
Katanya, dia dimaklumkan dua kali Ma'alah dan penduduk kampung terpaksa meninggalkan kampung itu susulan kehadiran Jepun dan komunis.
Jelasnya, pada ketika itu mereka tinggal sementara di Kampung Temenin Lama, namun kembali semula ke Kampung Rantau Panjang untuk menetap.
"Sebab itu kalau diperhatikan di seberang sungai kampung terdapat kesan-kesan peninggalan seperti kubur, ada tanah-tanah yang mempunyai geran, namun tiada pemilik.
"Sebaik sahaja mereka kembali semula ke kampung ini setelah tujuh atau lapan tahun terpaksa berpindah kali kedua kerana kehadiran komunis, mereka terus membina penempatan baharu berhadapan seberang sungai.
"Dan penempatan itu kekal sehingga ke generasi sekarang. Manakala Ma'alah pula meninggal dunia kerana sakit tua pada tahun 1938 dan disemadikan di kampung ini," katanya.
Anak Ma'alah bersalin kembar seekor buaya putih
Ishak berkata, kampung berkenaan juga turut mempunyai cerita mitos menarik di mana salah seorang anak Ma'alah dikatakan telah melahirkan bayi kembar seekor buaya putih.
Katanya, kembar buaya itu diletakkan di sungai selepas saiznya semakin membesar dan didakwa akan naik setiap kali adik kembarnya menangis.
Menurutnya, kembar buaya berkenaan bernama Rahmat Taaral bagaimanapun telah meninggal dunia selepas terlibat dengan insiden kemalangan.
Ketua Kampung Rantau Panjang, Mohd Khairul Mohd Johir berkata, kampung tersebut mempunyai kira-kira 50 buah rumah yang didiami seramai 120 penduduk.
Katanya, berbanding dahulu kampung itu kini sudah dilengkapi dengan pelbagai kemudahan terutamanya jalan raya bertar sejak 1996.
"Kemudahan elektrik dan air telah dinikmati penduduk sejak 1986. Selain itu ada sekolah agama, balai raya, kedai 1Malaysia juga jambatan baharu yang memudahkan penduduk untuk ke kawasan tanah perkuburan," katanya.
Rancang tambah jumlah penduduk
Mohd Khairul berkata, pihaknya turut mempunyai perancangan untuk menambahkan lagi bilangan penduduk kampung melalui pembinaan perumahan tersusun.
Katanya, kampung berkenaan dilihat berpotensi untuk perlaksanaan projek eko-pelancongan dan agro-pelancongan susulan kemudahan jambatan baharu yang ada serta sumber pertanian yang mewah.
"Sumber ekonomi penduduk di sini rata-rata mengusahakan tanaman kontan, kelapa sawit, menternak lembu. Jadi kita rancang untuk menarik orang luar masuk ke kampung ini dengan adanya perumahan tersusun ini.
"Dalam masa sama kita mahu 'hidupkan' balik sejarah kampung dengan arkibkan sejarah-sejarah dikumpul bersama bukti yang ada agar ia tidak dilupakan begitu sahaja oleh generasi muda kampung," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!