Martabak Kadok tular, keenakan 'digilai' pelanggan

Ahmad Rais menyediakan martabak lebih awal bagi mengelakkan pelanggan menunggu lebih lama. (Martabak Kadok popular sejak lebih 26 tahun lalu.)
Ahmad Rais menyediakan martabak lebih awal bagi mengelakkan pelanggan menunggu lebih lama. (Martabak Kadok popular sejak lebih 26 tahun lalu.)
A
A
A

KOTA BHARU - Rempah khas bagi menghasilkan martabak Kadok membuatkan menu tersebut menjadi pilihan pelanggan sejak lebih 26 tahun lalu.

Ahmad Rais Fikri Rosli, 30, berkata, rempah campuran yang ditempah daripada penduduk tempatan itu dicampur dengan serbuk kari bagi menyedapkan martabaknya.

Lebih memikat selera, katanya, inti martabak merupakan resipi turun-temurun yang telah dikongsi oleh ibunya Kamisah Ab Majid, 54.

"Keenakan martabak kami kerana penyediaan 'kepala rempah' iaitu rempah campuran bersama serbuk kari, bawang dan serai yang dimasak lebih satu jam.

"Proses ini bagi membolehkan ia benar-benar masak dan pecah minyak," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Ahmad Rais memberitahu, mereka tidak terus mencampurkan daging atau ayam ke dalam rempah itu sebaliknya penyediaan sepenuhnya inti martabak akan dilakukan beberapa jam selepas penyediaan 'kepala rempah'.

Menurutnya, Ramadan ini dia menyediakan lebih 800 biji martabak walaupun menghadapi kekangan ketiadaan penebar doh.

"Bagi memenuhi permintaan itu, kami menggunakan lebih 15 kilogram rempah dan lima kilogram rempah kari," katanya.

Ahmad Rais melihat pekerjanya menyediakan kuah martabak sebelum jualan.
Ahmad Rais melihat pekerjanya menyediakan kuah martabak sebelum jualan.

Ahmad Rais memberitahu, dia dan dua lagi penebar doh terpaksa masuk dapur lebih awal untuk menebar kerana tidak mahu pelanggan kecewa selepas mereka beratur panjang.

Bagaimanapun katanya, ada juga tempahan yang terpaksa ditolak selepas mengambil kira ramai pelanggan menunggu lebih awal daripada masa jualan yang ditetapkan pihak berkuasa.

Jelasnya, pada hari biasa, martabak yang dijual hanya 300 hingga 400 biji sehari.

"Sepanjang puasa saya menggunakan lebih 1,400 butir telur sehari dan 40 kilogram gandum untuk menyiapkan inti dan doh martabak.

"Ada tiga jenis inti iaitu daging dan ayam yang dijual pada harga RM6 sebiji manakala RM10 untuk martabak serunding," katanya.

Bagaimanapun menurut Ahmad Rais, harga martabak ayam dan daging terpaksa dinaikkan harga sejak dua tahun lalu berikutan kenaikan bahan mentah termasuk telur.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!