Anwar lakukan kunjung hormat ke atas Jinping
BEIJING - [DIKEMAS KINI] - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden China Xi Jinping di Great Hall of the People di sini.
Dalam kunjungan itu kedua-dua pemimpin bermesyuarat selama kira-kira 45 minit.
Ia merupakan mesyuarat secara bersemuka buat julung kalinya diadakan antara kedua-dua pemimpin berkenaan.
Dalam ucapan ringkasnya, Jinping yang mengalu-alukan kehadiran Anwar berkata, beliau menghargai lawatan itu, apabila Perdana Menteri menerima undangan ke China walaupun di tengah bulan Ramadan yang mulia.
Beliau juga mengambil maklum ulang tahun ke-10 pelaksanaan Perkongsian Strategik Komprehensif antara kedua-dua negara tahun ini, serta 50 tahun hubungan diplomatik pada 2024, dan menambah bahawa beliau berharap di bawah kepimpinan Anwar, Malaysia dan China akan dapat bekerjasama lebih erat untuk membawa hubungan antara kedua-dua negara ke tahap yang lebih tinggi.
Jinping berkata, kedua-dua negara telah bersetuju untuk membangunkan komuniti "China-Malaysia" dengan impian masa depan bersama.
"Hubungan dua hala ini merupakan titik permulaan penuh bersejarah yang baharu," katanya.
Katanya, beliau berharap di bawah kepimpinan Anwar, Malaysia dan China akan dapat bekerjasama lebih rapat untuk membawa hubungan antara kedua-dua negara ke peringkat lebih tinggi.
Sementara itu, Perdana Menteri dalam ucapannya berkata, Malaysia amat menghargai hubungan dengan China.
Beliau memberitahu Jinping bahawa kunjungan beliau ke China buat kali pertama sejak menjadi Perdana Menteri November lepas cukup mengujakan seluruh Malaysia.
"Saya amat gembira untuk berada di sini. Lawatan saya ini menjadi perhatian ramai di tanah air kami, diperhatikan dengan penuh rasa muhibah dalam kalangan ramai rakyat Malaysia," katanya.
Anwar seterusnya menyuarakan kekaguman dan penghormatan terhadap Jinping, atas kepimpinannya yang berwawasan, idea serta usahanya dalam mereformasi China dan membawa negara itu ke tahap yang lebih tinggi.
"Anda seorang yang berwawasan, (dan) seorang negarawan, yang bercakap mengenai keselamatan, ekonomi dan ketamadunan.
"Secara peribadi, Presiden Jinping, anda bukan sahaja telah mengubah hala tuju China, tetapi juga memberi sinar harapan kepada dunia dan umat manusia, dengan visi yang melangkaui China, ke rantau ini dan seluruh dunia," katanya.
Anwar merupakan antara pemimpin asing terawal melawat China dan bertemu Jinping selepas pemilihan semula Jinping sebagai Presiden China untuk penggal ketiga pada 10 Mac.
Selepas pertemuan dengan Jinping, perdana menteri kemudiannya menerima kunjungan hormat daripada Pengerusi National People's Congress (NPC) Zhao Leji, yang juga berlangsung di Great Hall of People.
Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang serta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
China merupakan destinasi lawatan rasmi antarabangsa Anwar yang kelapan sejak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!