Hormati proses penentuan rasmi tarikh Hari Raya - Jakim

Tangkap layar Pemberitahuan Akhir Ramadan 1444H 20 April 2023 yang tular.
Tangkap layar Pemberitahuan Akhir Ramadan 1444H 20 April 2023 yang tular.
A
A
A

SHAH ALAM - Semua pihak dinasihatkan supaya menghormati proses penentuan rasmi tarikh Hari Raya di negara ini yang dilaksanakan sejak sekian lama dengan menyerahkan tanggungjawab itu kepada pihak berautoriti.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, pengumuman rasmi tarikh Hari Raya Aidilfitri dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja (PMBRR) selaku pihak berkuasa yang diamanahkan Majlis Raja-Raja pada masa tersebut.

Justeru, semua pihak dipohon supaya tidak membuat sebarang andaian mengenai tarikh Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

“Jakim ingin memaklumkan, bahawa pengisytiharan tarikh 1 Syawal pada setiap tahun bagi negara Malaysia adalah dibuat oleh PMBRR melalui media utama sejurus menerima laporan hasil cerapan anak bulan yang dibuat di 29 lokasi cerapan rasmi setelah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang mewakili Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

“Cerapan Hilal Syawal bagi tahun ini (1444H) adalah pada petang hari Khamis, 29 Ramadan 1444H bersamaan 20 April 2023.

“Semua pihak disaran membuat semakan ketepatan tarikh hijri yang terdapat pada jam digital azan khususnya di masjid dan surau agar sentiasa selari dengan kalendar hijri yang dikeluarkan oleh Jakim atau pihak berkuasa agama negeri dan disahkan oleh Panel Pakar Falak,” katanya.

Pada Jumaat, tular di media sosial dan kumpulan WhatsApp mengenai hebahan tarikh Hari Raya Aidilfitri yang dikatakan jatuh pada 21 April ini.

Hebahan ini menjadi perbualan dalam kalangan orang ramai apabila tarikh tersebut berbeza seperti yang tercatat dalam kalendar pada 22 April.

Ia susulan satu tangkap layar yang dikongsikan memaparkan tarikh akhir Ramadan pada 20 April ini.

Sementara itu, Jakim dalam masa sama turut mengambil mengambil maklum tentang penularan satu tangkap layar yang memaparkan ‘Pemberitahuan Akhir Ramadan 1444H 20 April 2023’ yang dipercayai disiarkan menerusi sebuah paparan iklan di sebuah masjid.

Paparan tersebut katanya, telah menimbulkan spekulasi dalam kalangan warga maya mengenai tarikh Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!